‘Tembakan’ mengena! Populariti artis kembali meroket lepas buat 'comeback'


  • Hiburan
  • Ahad, 18 Dis 2022

Nama beberapa artis semakin dikenali selepas membuat kemunculan semula dengan gaya dan penampilan baharu.

INDUSTRI hiburan tanah air sentiasa dilimpahi dengan kehadiran artis baharu untuk saling bersaing bersama bintang senior.

Tidak dinafikan ada antara artis ‘lama’ yang berhadapan dengan kesukaran bertahan lama di lapangan hiburan pada zaman ini.

Disebabkan itu, sebilangannya mulai menghilang sehingga berita mengenai mereka terlepas daripada radar arus perdana.

Bagaimanapun, ada juga artis yang kembali muncul dengan penampilan dan gaya baharu berjaya mencuri perhatian penonton sekali gus menjulang kembali nama mereka sebagai anak seni.

Berikut Majoriti senaraikan selebriti yang kembali membuat kemunculan semula atau comeback:

Elly Mazlein

majoriti2022 (9)

Kerjaya penyanyi lagu Usah Ditambah Bara Yang Tersimpan, Elly Mazlein sebenarnya tidak pernah ‘padam’ sejak mula melibatkan dalam industri seawal usia remaja.

Kerjayanya berjalan lancar tidak mengira sama nyanyian mahupun lakonan. Bagaimanapun kerjaya nyanyiannya tidak bergerak seiring dengan lakonan.

Meskipun Elly atau nama sebenarnya Sharifah Aida Mazlina Syed Hanafi tetap aktif dalam industri, namun selepas penyertaan dalam program Gegar Vaganza musim ketiga pada 2016 membuatkan namanya meroket sehingga sekarang.

Pelbagai drama termasuk siri Kampung People turut membantu menaikkan namanya. Terus mengembangkan bakat, Elly kini aktif dalam bidang pengacaraan dan terkenal dengan gelaran Kak Lina Pom Pom.

Siti Nordiana

majoriti2022 (12)

Penyanyi dan pelakon Siti Nordiana juga antara selebriti yang memulakan kerjaya ketika berusia remaja.

Peminat muzik sekitar 1990-an pasti mengenai diri penyanyi ini yang terkenal dengan panggil Nana.

Kerjaya nyanyian pada awalnya berjalan dengan baik, namun kurang mendapat perhatian selepas beberapa tahun sehinggalah muncul juara program Gegar Vaganza musim kedua pada 2015.

Sejak itu, namanya kembali melonjak termasuk membintangi drama Cekelat Semanis Honey, Cekelat Tak Semanis Honey dan Selamanya Suri Cinta.

Buat julung kalinya, Nana menjadi bintang utama dalam pementasan teater Dia Semanis Honey Muzikal pada 2017 dengan membawa watak sebagai Hani Safira.

Edika Yusof

majoriti2022 (13)

Aktor Edika Yusof mula mencipta nama dalam industri hiburan sekitar 1990-an. Berbekalkan wajah yang tampan dan berfizikal tinggi lampai, mudah buat dirinya mencuri perhatian peminat.

Bagaimanapun, sekitar 2000-an penglibatannya dalam industri semakin berkurangan sehinggalah dia menghilangkan diri.

Setelah hampir sedekad berlalu, Edika kembali membuat kemunculan semula dan membintangi beberapa buah drama antaranya Pengantin Satu Malam, Mencari Kiblat Cinta, Saat Kau Takluk Cinta Ini, Suamiku Lelaki Pendosa dan Bisik Bisik Gelora.

Biarpun sudah menjangkau umur 50-an, namun penampilan dan pesona Edika masih kelihatan menarik dan kacak.

Sham Visa

majoriti2022 (10)

Vokalis kumpulan Visa, Sham aktif terlibat dengan kerjaya nyanyian dan lakonan. Filem Debu-Debu Kasih dan Ilham membuatkan dirinya semakin dikenali.

Bagaimanapun, Sham mengundurkan diri daripada kerjaya seni demi memberi fokus kepada keluarga dan bekerja di pelantar minyak.

Pada 2019, Sham muncul dengan membintangi program Gegar Vaganza musim keenam. Sekali lagi kemunculannya mencuri perhatian apabila dikatakan seiras dengan watak Iron Man iaitu Tony Stark lakonan Robert Downey Jr.

Zarul Umbrella

majoriti2022 (11)

Vokalis kumpulan Umbrella yang terkenal dengan lagu Ramalanku Benar Belaka ini pernah mencipta nama sebagai penyanyi sekitar 1990-an.

Namun, Zarul dikatakan perlahan-lahan mengundurkan diri daripada bidang nyanyian dan berkhidmat dengan sebuah syarikat penerbangan sebagai pramugara.

Tidak dinafikan, program Gegar Vaganza bagi memberi peluang kedua buat selebriti tempatan mencipta nama mereka kembali.

Zarul muncul dalam rancangan tersebut bagi musim kelima dan berjaya muncul sebagai pemenang tempat ketiga.

Sejak itu, Zarul turut aktif sebagai pelakon dan membintangi beberapa buah drama antaranya Leftenan Zana, Patah Sayap Bertongkat Paruh, Hilangkah Janji Kita, Syurga Yang Kedua dan Rampas Cintaku.

Dia juga meneruskan kerjaya nyanyian solo dengan lagu Jangan pernah, Remuk dan Hilang. — Majoriti

Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram dan Telegram