SEORANG wanita dipercayai pelakon Datin Elvina Mohamad meluahkan rasa berang apabila berhadapan dengan individu yang mengamalkan konsep ‘cop’ parkir di sekitar Chow Kit, Kuala Lumpur pada Rabu.
Rakaman tersebut dimuat naik oleh Elvina di dalam TikTok ketika dia berhadapan dengan tindakan seorang wanita melakukan hal tidak bertanggungjawab tersebut.
“Tidak sangka masih ada orang yang melakukan ‘cop’ parkir.
"Saya pusing tiga hingga empat kali untuk cari dan tunggu untuk dapatkan parkir.
“Selepas itu, dia menipu cakap sudah berdiri lama sedangkan kami lebih awal menunggu untuk parkir kereta di situ.
"Ikutkan hati rasa nak maki, geram,” tulisnya di TikTok.
Ketika kejadian, wanita terbabit dilihat berdegil dan tidak mengendahkan teguran aktres berkenaan yang menyatakan perbuatannya adalah salah.
Malah individu itu dengan bersahaja turut mengarahkan sebuah kereta untuk membetulkan kenderaan dan masuk ke dalam kotak parkir.
Rata-rata orang ramai turut mempertikaikan tindakan individu berkenaan dan mengakui hal sebegitu kerap berlaku dalam kalangan masyarakat hari ini.
"Sister park sahaja betul-betul sebelah driver punya pintu, biar dia tak boleh keluar," kata Rohaya Hussein.
"Masih wujud dekat Malaysia ini berdiri lama-lama nak 'cop' parking, husnuzon sahajalah tempat itu dia dan rakan-rakan sewa," jelas Atilia Azis.
"Dengan pakai apa entah dekat kepala itu,sesuka hati 'cop' parkir," ujar Ara.
Untuk makluman, budaya cop parking ini adalah satu kesalahan di bawah Seksyen 50(3) Akta Pengangkutan Jalan 1987 kerana petak parkir itu adalah hak milik awam, maka mana-mana individu tiada hak untuk mendesak atau menghalang individu lain daripada menggunakan petak parkir itu.
Individu yang sengaja ‘cop’ parking ini boleh dikenakan denda maksimum RM2,000 atau penjara tidak lebih enam bulan; dan sekiranya kesalahan berulang kali kedua atau lebih, individu itu boleh dikenakan denda maksimum RM4,000 atau penjara tidak lebih dua belas bulan, atau kedua-duanya; seperti yang diperuntukan dalam Seksyen 119 (2) Akta Pengangkutan Jalan 1987. — Majoriti
Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram dan Telegram