KESEMUA ahli dan pimpinan tertinggi Parti Pribumi Bersatu Malaysia (Bersatu) Sabah memutuskan untuk keluar dari parti itu berkuatkuasa pada Sabtu.
Ketua Badan Pimpinan Bersatu Sabah, Datuk Seri Hajiji Noor berkata, keputusan itu dibuat setelah mempertimbangkan keadaan lanskap politik negara ketika ini terutama di Sabah.
Hajiji yang juga Ketua Menteri Sabah itu berkata, semua bekas ahli Bersatu termasuk beliau akan menubuhkan sebuah parti tempatan baharu tetapi buat masa ini akan menjadi ahli GRS.
"Melangkah ke hadapan, kami akan menubuhkan sebuah parti tempatan yang baharu, namun untuk sementara ini kami secara kolektif akan menjadi ahli GRS.
"Kami berikrar untuk memberi sokongan penuh kepada Kerajaan Perpaduan dan kami yakin dengan kepimpinan dan kebijaksanaan Datuk Seri Anwar Ibrahim untuk memimpin negara," katanya dalam kenyataan pada Sabtu.
Ahli dan pimpinan tertinggi Bersatu Sabah meninggalkan parti itu berkuatkuasa pada Sabtu.
Menurut Pengerusi Gabungan Rakyat Sabah (GRS) itu, keputusan sebulat suara itu adalah demi kepentingan Sabah, perpaduan dan memenuhi hasrat serta aspirasi rakyat untuk terus berjuang di bawah naungan sebuah parti tempatan.
Jelasnya, keputusan itu juga adalah yang terbaik untuk perpaduan dan kestabilan politik negeri serta akan menggunakan GRS untuk menyuarakan kepentingan Sabah dan negeri-negeri Borneo di Malaysia.
"Sabah mahukan kestabilan politik dan perpaduan. Kami mahu memastikan momentum dalam pertumbuhan dan pembangunan Sabah dan untuk melihat Sabah makmur sejajar dengan mandat yang diberikan kepada kami dalam pilihan raya lalu.
"Keputusan kami untuk meninggalkan Bersatu adalah atas dasar bahawa ia tidak lagi boleh dipertahankan untuk kekal sebagai status quo," katanya.
Jelasnya, perkara itu kerana di peringkat Persekutuan, Bersatu adalah pembangkang manakala GRS telah berikrar menyokong Kerajaan Perpaduan yang dipimpin oleh Datuk Seri Anwar Ibrahim.
"Adalah menjadi komitmen kerajaan Sabah bersama Sarawak sebagai blok Borneo untuk menyuarakan aspirasi rakyat dan untuk melihat Perjanjian Malaysia 1963 (MA63) akan dilaksanakan sepenuhnya.
"Kami mengucapkan setinggi terima kasih kepada Presiden Bersatu dan Pengerusi Perikatan Nasional, Tan Sri Muhyiddin Yassin di atas kepimpinan beliau sepanjang tempoh kami sebagai ahli parti itu," katanya. — Majoriti
Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram dan Telegram