Annuar Musa antara 3 dipecat Umno, kata Ahmad Maslan


  • Politik
  • Jumaat, 09 Dis 2022

Ahmad berkata, tindakan pelucutan keahlian itu adalah selepas ketiga-tiga mereka didapati melanggar Fasal 20.9 Perlembagaan Umno yang juga berkaitan tata etika ahli.

SETIAUSAHA Agung Umno, Datuk Seri Ahmad Maslan pada Jumaat mengesahkan Tan Sri Annuar Musa adalah antara tiga yang dilucutkan keahlian hasil mesyuarat Majlis Kerja Tertinggi (MKT) parti itu, pada Khamis.

Selain Ketua Umno Bahagian Ketereh itu, Ahmad berkata, turut dilucutkan keahlian adalah Ketua Wanita Umno Bahagian Maran, Datin Seri Fatimah Kassim dan Ketua Wanita Umno Bahagian Arau, Datin Seri Shamsiah Yassin.

Ahli Parlimen Pontian itu berkata, tindakan pelucutan keahlian itu adalah mengikut Fasal 10.6 Perlembagaan Umno selepas ketiga-tiga mereka didapati melanggar Fasal 20.9 Perlembagaan Umno yang juga berkaitan tata etika ahli.

"Tiga orang telah dilucutkan keahlian - Datin Seri Fatimah Kassim, Datin Seri Shamsiah Yassin dan Tan Sri Annuar Musa berkuat kuasa serta merta. Surat (pelucutan keahlian) akan diserahkan pada Jumaat,” katanya kepada pemberita selepas Program Khatan Perdana Anjuran Masjid Kampung Jawa Ulu, Pontian, Johor pada Jumaat.

Jelas Ahmad lagi, Fatimah merupakan isteri kepada Ahli Parlimen Maran, Datuk Seri Ismail Abd Muttalib manakala Shamsiah adalah isteri kepada Ahli Parlimen Arau, Datuk Seri Shahidan Kassim.

Ismail dan Shahidan, yang bertanding atas tiket Perikatan Nasional (PN) pada Pilihan Raya Umum ke-15 (PRU15) lepas, turut berjaya mempertahankan kerusi Parlimen masing-masing.

Ahmad berkata, dalam masa yang sama, Umno juga sedang meneliti senarai ahlinya yang disyaki melanggar perlembagaan parti semasa Pilihan Raya Umum ke-15 (PRU15) yang lepas.

"Kita kini sedang meneliti seluruh senarai ahli yang menjadi calon bebas, jadi pencadang dan penyokong selain calon Umno dan Barisan Nasional (BN).

"Perkara ini memerlukan masa dan perlu pengesahan daripada Umno Bahagian, minta bahagian hantar laporannya,” katanya.

Terdahulu, keahlian Shamsiah dan Fatimah digantung sementara sejak 13 November lepas atas dakwaan terbabit secara langsung atau tidak langsung menyokong calon parti lawan pada PRU15. — Bernama

Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram dan Telegram