PN namakan Hamzah Zainuddin calon ketua pembangkang


  • Politik
  • Sabtu, 10 Dis 2022

Hamzah Zainuddin diumumkan sebagai Ketua Pembangkang. — The Star

DESAS-desus Setiausaha Agung Bersatu, Datuk Seri Hamzah Zainuddin bakal dilantik sebagai calon ketua pembangkang akhirnya terjawab apabila mesyuarat Jawatankuasa Perikatan Nasional (PN) bersetuju menamakan beliau.

Setiausaha Agung PAS Datuk Seri Takiyuddin Hassan berkata, perkara itu telah diputuskan dalam satu mesyuarat yang diadakan beberapa hari lepas.

Beliau berkata, pencalonan Hamzah sebagai ketua pembangkang juga telah dihantar ke Parlimen.

"Kita telah menubuhkan satu jawatankuasa dalam kalangan 74 Ahli Parlimen PN dan bersetuju melantik Hamzah sebagai ketua pembangkang.

"Jawatankuasa juga turut melantik Pengerusi PN, Tan Sri Muhyiddin Yassin sebagai Ketua Ahli Parlimen PN dan timbalannya, Presiden PAS Tan Sri Abdul Hadi Awang,” katanya.

Sementara itu, Takiyuddin turut berkata, jawatankuasa juga bersetuju melantik beliau sebagai Ketua Whip PN. — Bernama

Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram dan Telegram