TANPA mengira jantina sama ada lelaki atau wanita, masing-masing perlu menjaga aurat terutama ketika bersama dengan individu bukan mahram.
Perkara itu perlu dilakukan dan diasuh sejak kecil terutama kaum Hawa agar sentiasa menjaga adab terutama ketika berada di depan khalayak.
Namun, bagaimana pula dengan aurat seorang wanita yang sudah berusia sekitar 70 atau 80 tahun ke atas. Selalunya wanita pada umur sebegini sudah mengalami proses menopause.
Sekadar fakta, putus haid adalah perubahan normal dalam kehidupan wanita ketika haidnya terhenti manakala usia menopaus normal sekitar 45 ke 55 tahun.
Mengulas mengenai persoalan tentang penjagaan aurat, golongan muslimah diwajibkan untuk menutup aurat bersesuaian seperti yang dinyatakan dalam al-Quran dan Sunnah.
“Dan hendaklah mereka menutupkan kain yang dipakai untuk menutup kepala (tudung) ke dadanya, dan janganlah menampakkan perhiasannya, kecuali kepada suami mereka, atau ayah mereka, atau ayah suami mereka, atau anak-anak lelaki mereka, atau anak-anak lelaki suami mereka, atau saudara-saudara lelaki mereka, atau anak-anak lelaki kepada saudara-saudara lelaki mereka, atau anak-anak lelaki kepada saudara-saudara perempuan mereka, atau wanita-wanita Islam, atau budak-budak suruhan yang mereka miliki, atau pelayan-pelayan lelaki yang tidak mempunyai keinginan (terhadap wanita) atau anak-anak yang belum mengerti tentang aurat wanita.” (Surah An-Nur, ayat 31)
Nabi Muhammad SAW bersabda: “Wanita itu adalah aurat, jika ia keluar rumah, maka syaitan akan menghiasinya.” (Riwayat Ibn Hibban 5598).
Menjawab mengenai itu Pejabat Mufti Wilayah Persekutuan Jabatan Perdana Menteri menjelaskan mengenai itu tentang beberapa istilah pakaian wanita dari segi bahasa dan syarak agar lebih memahami.
Al-Khimar
Imam Ibnu Kathir Rahimahullah mengatakan bahawa Al-Khimar bermaksud apa-apa yang dipakai untuk menutup kepala.
Ini membawa makna yang sama seperti takrifan Al-Khimar dari sudut bahasa, iaitu kain yang dipakai oleh wanita untuk menutupi kepalanya.
Al-Jilbab
Berdasarkan sudut pandangan bahasa yang membawa maksud, baju dan pakaian lebar yang dipakai oleh wanita yang terdapat di bawahnya kain atau apa-apa yang dipakai untuk menutupi pakaiannya dari atas. Rujuk Al-Qamus Al-Muhit (Hlm.68)
Imam Ibnu Kathir Rahimahullah berkata: “Al-Jilbab adalah ar-rida’ (kain atau pakaian lebar) yang dipakai di atas Al-Khimar (tudung). Inilah yang dikatakan oleh Ibnu Mas’ud RA, Ubaidah, Qatadah, Al-Hasan Al-Basri, Said bin Jubair, Ibrahim An-Nakha’i, Atha Al-Khurasani dan selain daripada mereka.” (Rujuk tafsir al-Quran)
Sementara itu, makna bagi Al-Qawa’id:
Berasal daripada perkataan al-qa’id yang membawa maksud orang yang duduk. Ibn Qutaibah Rahimahullah berkata: “Dinamakan wanita yang sudah tua sebagai orang yang duduk adalah kerana mereka banyak duduk di rumah pada usia tersebut”. (Rujuk tafsir Al-Baghawi 3/429).
Bagaimanapun para ulama berbeza pendapat mengenai makna sebenar Al-Qawa’id dalam ayat 60 surah An-Nur.
Terdapat tiga pendapat yang membincangkan mengenai ayat tersebut:
Pertama (Sebahagian besar ahli ilmu termasuk Sa’id bin Jubair, Qatadah dan Ad-Dhahhak)
Wanita tua yang sudah tidak mampu melakukan banyak perkara kerana umurnya yang lanjut serta sudah terhenti haid dan tidak mampu untuk mengandung lagi.
Kedua
Wanita tua yang tidak menyebabkan orang berminat kepadanya jika melihatnya disebabkan umurnya yang sudah berusia. Jika wanita tersebut masih mempunyai kecantikan yang boleh menaikkan syahwat bagi sesiapa melihatnya, maka dia tidak termasuk dalam ayat ini.
Ketiga
Wanita tua yang sudah tidak mampu untuk mengandung lagi.
Meskipun wujud banyak pandangan, mufti berpendapat kuat dan tepat dalam masalah ini adalah wajib ke atas wanita yang sudah berusia untuk memakai tudung yang menutupi rambut dan kepalanya seperti wanita lain berdasarkan dalil daripada al-Quran dan hadis Nabi Muhammad SAW.
Imam an-Nawawi Rahimahullah berkata: “Adapun aurat perempuan tua, Imam al-Ghazali menyamakan hukumannya dengan perempuan muda. Ini kerana nafsu syahwat adalah suatu perkara yang tidak dapat ditentukan dan perempuan tua masih lagi boleh dijadikan tempat untuk bersenang-senang dengannya."
Al-Qadi Ar-Rauyani berkata: “Jika mencapai usia yang selamat daripada fitnah dengan melihat kepadanya, harus untuk melihat wajahnya dan dua tapak tangannya berdasarkan firman ALLAH dalam surah An-Nur dalam ayat ke-60.” (Rujuk Raudhah At-Toliban 7/24)
Tafsiran ayat ke-60 dalam surah An-Nur, tepat mengikut pendapat majoriti ulama mendapati wanita tua yang sudah tidak mampu melakukan banyak perkara kerana umurnya sudah lanjut, sudah terhenti haid dan tidak mampu untuk mengandung lagi, serta tiada lagi keinginan terhadapnya jika melihatnya.
Adapun pakaian yang dibenarkan untuk ditanggalkan oleh wanita tua yang memenuhi kriteria seperti dinyatakan adalah Al-Jilbab (pakaian luar yang dipakai oleh wanita di atas tudung dan pakaian lain), bukannya Al-Khimar (tudung yang dipakai untuk menutup rambut dan kepala) seperti dakwaan sesetengah pihak. — Agensi
Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram dan Telegram