BERPULUH-PULUH pengunjung sebuah festival muzik di Bangkok, Thailand mendakwa mereka menjadi mangsa serangan seksual oleh beberapa pengawal keselamatan pada hujung minggu lalu, lapor Coconuts Bangkok pada Selasa.
Sebilangan mangsa mendakwa, kemaluan mereka disentuh pengawal keselamatan sebelum dibenarkan memasuki Festival 808 yang diadakan di BITEC Bang Na, Bangkok, Thailand pada 9 hingga 11 Disember lalu.
Seorang wanita bernama Hitomi Okemoto memberitahu Coconuts Bangkok bahawa pengawal-pengawal keselamatan menyentuh semua wanita yang menghadiri festival itu di kaki, kemaluan dan payudara.
Okemoto yang tidak berpuas hati turut memuat naik imej memaparkan wanita lain yang sedang diraba.
“Saya pernah pergi ke festival lain di Thailand dan tiada yang menjalankan pemeriksaan badan seperti ini.
"Ia keterlaluan, saya rasa wanita lain juga berasa jijik, takut dan sedih,” ujarnya.
Seorang wartawan Thailand turut menyaksikan pengawal keselamatan menyentuh wanita dan lelaki di bawah seluar sebelum mereka dibenarkan masuk ke tempat itu.
Namun, pengawal lelaki ditugaskan memeriksa pengunjung lelaki manakala pengawal wanita pula memeriksa pengunjung wanita.
Pada masa sama, penganjur festival itu bertindak mempertahankan pengawal keselamatan mereka dengan berkata, ‘polis sedang mencari dadah’ dan pihaknya tidak mampu mengawalnya.
Pihak penganjur juga mempertahankan tindakan pengawal keselamatan yang menyentuh payudara ramai wanita ketika kejadian.
Menjelang hari ketiga festival itu, semakin ramai orang ditangkap akibat dadah iaitu sekurang-kurangnya lebih 100 orang.
Seorang pegawai media untuk festival itu mengesahkan bahawa mereka mengupah pasukan keselamatan, selain mempertahankan usaha pencarian sebagai ‘perlu’ kerana dasar ketat tanpa dadah Thailand pada 2022. — Agensi
Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram dan Telegram