APMM Pulau Pinang tahan 5 kru warga Myanmar kendali bot tempatan


  • 112
  • Khamis, 15 Dis 2022

Bot yang digunakan dipercayai berpangkalan di Pantai Remis, Perak sudah disita pihak APMM.

SERAMAI lima kru warga Myanmar tanpa sebarang dokumen perjalanan diri ditahan Agensi Penguatkuasaan Maritim Malaysia (APMM) Pulau Pinang ketika menaiki sebuah bot nelayan tempatan di barat Pulau Kendi, Pulau Pinang pada Rabu.

Pengarahnya, Kapten Maritim Abd Razak Mohamed berkata, kapal ronda APMM yang sedang melaksanakan Op Tanjung mendapati sebuah bot nelayan kelas C2 sedang menangkap ikan menggunakan pukat tunda dalam keadaan mencurigakan kira-kira pada pukul 9 pagi.

"Hasil pemeriksaan mendapati bot yang berpangkalan di Pantai Remis, Perak itu dikendalikan lima kru pendatang asing berusia antara 20 dan 43 tahun.

"Kesemua lelaki itu ditahan kerana disyaki melakukan kesalahan di bawah Akta Perikanan 1985 dan Akta Imigresen 1959/63 iaitu tiada permit menggajikan warga asing daripada Ketua Pengarah Perikanan Malaysia serta tidak memiliki sebarang dokumen perjalanan diri yang sah," katanya.

Tambah Abd Razak, bot yang dinaiki berserta hasil laut seberat 150 kilogram dibawa ke Jeti Limbongan Batu Maung, Pulau Pinang untuk diserahkan kepada Pegawai Penyiasat APMM untuk siasatan lanjut

Pihaknya juga memberi amaran kepada komuniti nelayan terutama pemilik bot agar mematuhi peraturan yang ditetapkan supaya penangkapan seperti itu tidak berulang. — Bernama

Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram dan Telegram

Nelayan, Myanmar, Polis, Maritim, APMM, Pulau Pinang, Penang, Bot