SEORANG nelayan yang dilaporkan hilang dalam kejadian bot karam Rabu minggu lepas di perairan Parit Hailam, Batu Pahat, Johor ditemukan mati pada Isnin dengan mayatnya tersangkut pada jaring pukat.
Pengarah Zon Maritim Batu Pahat, Komander Maritim Mohd Haniff Mohd Yunus berkata, mayat Te Chia Rong ditemukan oleh pasukan penyelam pihak swasta yang dilantik keluarga nelayan berkenaan.
Beliau berkata, mayat yang ditemukan pada kedalaman 40 meter di dasar laut itu berjaya dibawa naik ke permukaan pada pukul 11.45 pagi setelah usaha menaikkannya dimulakan pukul 10 pagi dan ia kemudiannya dibawa ke Jeti Zon Maritim Batu Pahat.
"Mayat diserahkan kepada polis untuk tindakan lanjut dan sehingga kini kerja-kerja menyelam sedang giat dijalankan bagi mengesan seorang lagi mangsa, Chia Hock Neng, 60, yang dipercayai terperangkap di dalam bot berkenaan.
"Usaha mengapungkan bot berdepan dengan masalah cuaca buruk dan pihak Agensi Penguatkuasaan Maritim Malaysia (APMM) berharap dapat menemukan seorang lagi mangsa sebaik sahaja bot itu berjaya diapungkan,” katanya pada sidang media di Pejabat Zon Maritim Batu Pahat di Batu Pahat pada Isnin.
Rabu lepas, sebuah bot nelayan dengan empat kru dilaporkan karam akibat cuaca buruk dan ombak besar pada kira-kira pukul 5 petang, mengakibatkan Te Chia Rong, 38, dan Chia Hock Neng hilang, manakala Te Chia Haur, 40, dan Tee Kian Muar, 33, terselamat. — Bernama
Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram dan Telegram