Feri Langkawi terkandas 7 jam, ada penumpang pengsan, ramai kelaparan, hanya minum air mineral


  • Massa
  • Isnin, 24 Okt 2022

Usaha untuk menarik feri yang terkandas ekoran air laut surut. — Bernama

"TERKANDAS selama tujuh jam. Ramai yang semput dan kelaparan".

Itu yang dikongsikan seorang daripada lebih 500 penumpang dan kru yang terkandas dalam perjalanan dari Terminal Feri Penumpang Kuah, Langkawi ke Terminal Jeti Kuala Kedah pada Ahad.

Penumpang itu yang dikenali sebagai Aliynnn berkata, ramai penumpang yang pengsan, semput serta kelaparan.

"Kami hanya dibekalkan air mineral sahaja selama tujuh jam. Hanya makan bekalan yang ada sahaja

"Masa tersangkut, enjin dah ditutup. Anak-anak kecil menangis sebab panas. Kasihan tengok," katanya.

Tambahnya, dia turut mengucapkan syukur kerana selamat tiba di jeti kira-kira pukul 9.30 malam selepas tujuh jam terkandas.

Sementara itu, Pengarah Zon Maritim Kuala Kedah, Agensi Penguatkuasaan Maritim Malaysia (APMM), Komander Maritim Noor Azreyanti Ishak, berkata feri itu ditunda bot tunda milik salah sebuah syarikat kargo di Kuala Kedah pada pukul 9.25 malam manakala kesemua penumpang dan kru itu selamat.

Bagaimanapun, katanya, tiga penumpang dihantar ke Hospital Sultanah Bahiyah (HSB) di sini untuk pemeriksaan lanjut kerana salah seorang sakit berkaitan saraf manakala dua lagi mengalami simptom sesak nafas.

"Seramai 272 orang penumpang berjaya dibawa keluar secara berperingkat oleh bot Perkasa 1224 Maritim Malaysia, bot ronda PSC 19 PDRM serta bantuan daripada beberapa bot nelayan tempatan sekitar Kuala Kedah dan Yan, yang selebihnya penumpang berada dalam feri yang telah berjaya ditunda ini.

"Operasi memindahkan penumpang turut berdepan detik sukar dan beberapa kali enjin bot pasukan penyelamat tersekat akibat air cetek dan permukaan lantai laut yang berselut namun operasi yang dikendalikan Maritim Rescue Sub-Centre (MRSC) Langkawi ini selesai dan telah ditamatkan pada pukul 10 malam," katanya dalam kenyataan pada Ahad. — Majoriti

Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram dan Telegram