
SEMANGAT kemerdekaan semakin dirasai di daerah Tawau, Sabah melalui program Semarak Merdeka yang dianjurkan Agensi Penguatkuasaan Maritim Malaysia (APMM) bersama penduduk setempat.
Program di Felda Gugusan Umas pada Sabtu (20 Ogos) menyaksikan lebih 100 orang mengambil bahagian.
Pengarah APMM zon Tawau, Shahrizan Raman berkata, program itu bertujuan menyemarakkan semangat patriotisme dalam kalangan masyarakat ketika negara menyambut Hari Kebangsaan yang ke-65 pada 31 Ogos ini.
Beliau berkata, antara aktiviti dalam program itu termasuklah Konvoi Merdeka, pembersihan komuniti di Tabika Kemas Felda Umas dan penyerahan Jalur Gemilang.
"Kami juga melancarkan kempen 'Kibarkan Jalur Gemilang' dan mengambil bahagian dalam aktiviti riadah bersama penduduk setempat," katanya.
Shahrizan berkata, warga Felda termasuk penduduk kampung, murid tadika dan nelayan dijemput menyertai majlis itu bagi membantu mereka mengetahui lebih lanjut tentang peranan APMM.
“Program sebegini membantu memupuk hubungan antara pegawai maritim dan penduduk tempatan di samping menggalakkan perpaduan dalam masyarakat berbilang etnik,” tambahnya.
Shahrizan mengucapkan terima kasih kepada orang ramai khususnya ketua kampung Felda Gugusan Umas Otoh Kanus dan penyelia tadika Felda Umas Samsuria Nanang atas sokongan sepanjang program berlangsung. — The Star
Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram dan Telegram