[VIDEO] Berang tak dapat gaji, lelaki bawa geng hayun parang, rantai besi serang ex bos di KK


  • Tular
  • Isnin, 05 Dis 2022

Tangkap layar video sekumpulan lelaki bergaduh menggunakan rantai besi dan parang.

TULAR sebuah video sekumpulan lelaki bergaduh menggunakan rantai besi dan parang dipercayai berlaku di Sepanggar, Kota Kinabalu, Sabah pada Khamis.

Rakaman video yang dimuat naik oleh pengguna media sosial pada Ahad, memaparkan seorang lelaki menghayunkan rantai besi ke arah mangsa dan mengenai kepala sehingga berdarah.

Lelaki itu kemudiannya menuju ke kereta dan mengeluarkan sebilah parang sebelum dihalang oleh beberapa individu lain yang berada di lokasi kejadian.

Insiden itu dipercayai berlaku di hadapan sebuah kilang di Taman Perindustrian Kota Kinabalu (KKIP), Sepanggar pada pukul 12.15 tengah hari ketika mangsa bersama seorang rakannya hendak keluar makan.

Namun secara tiba-tiba laluan keluar masuk di pintu pagar kilang itu dihalang oleh sebuah kereta jenis Perodua Bezza.

Mangsa kemudiannya menegur pemandu kereta Perodua Bezza supaya mengalihkan kenderaan tetapi pemandu terbabit enggan sebelum suspek dipercayai melemparkan alat pemadam api ke arah kenderaan mangsa sehingga menyebabkan cermin tingkap penumpang pecah.

Selepas beberapa saat muncul seorang lelaki yang mangsa kenali dipercayai bekas pekerja rakannya memukul mangsa kedua kerana dikatakan tidak membayar gaji.

Tiga rakan suspek termasuk seorang bersenjatakan rantai besi dan seorang lagi turut mengeluarkan parang kemudiannya menyerang kedua-dua mangsa.

Pergaduhan itu kemudian dileraikan dan akibat serangan itu mangsa pertama cedera di kepala manakala mangsa kedua cedera di telinga kiri dan mendapat rawatan di Hospital Tuaran, Sabah.

Ketua Polis Daerah Kota Kinabalu, Asisten Komisioner Mohd Zaidi Abdullah, mengesahkan kejadian berkenaan dan dua suspek berusia 57 dan 53 tahun ditahan pada Ahad.

“Dua lagi suspek sedang dikesan dan senjata rantai dan kereta Perodua Bezza turut dirampas.

“Siasatan lanjut masih dijalankan mengikut Seksyen 324 Kanun Keseksaan atas kesalahan mendatangkan kecederaan,” katanya. — Majoriti

Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram dan Telegram