[VIDEO] Sanggup menyamar polis, pemuda Kelantan hati kering rembat 2 helai jersi bola sepak


  • 112
  • Rabu, 07 Dis 2022

Tangkap layar video seorang lelaki menyamar sebagai anggota polis sebelum mencuri dua helai jersi di Kelantan.

TINDAKAN seorang lelaki yang menyamar sebagai anggota polis memperdaya peniaga untuk membeli beberapa helai jersi mengundang padah selepas diburu pihak berkuasa di Jalan Bayam, Kota Bharu, Kelantan pada Sabtu.

Kejadian tersebut berjaya dirakam menerusi kamera litar tertutup (CCTV) yang berada di dalam premis terbabit.

Ketua Polis Daerah Kota Bharu, Asisten Komisioner Mohd Rosdi Daud berkata, pihaknya mengesahkan telah menerima satu laporan polis pada Isnin berhubung kejadian tersebut.

"Kejadian berlaku pada Sabtu pukul 8.30 malam, telah datang seorang lelaki telah datang memakai T-Shirt berwarna maroon, berseluar jeans dan memakai vest polis.

"Lelaki tersebut datang berseorangan dengan menaiki kereta jenis Perodua Axia dan tidak dapat dipastikan nombor pendaftaran kenderaan terbabit," katanya dalam kenyataan pada Selasa.

Tambah Rosdi, suspek memperdaya seorang peniaga dengan membeli dua helai jersi dan tidak membuat sebarang pembayaran.

"Suspek melakukan pembelian dua helai jersi dan seluar sukan yang berjumlah RM69 tetapi tidak membuat sebarang pembayaran sebelum melarikan diri.

"Polis kini sedang memburu suspek bagi membolehkan siasatan dapat dilakukan," jelasnya.

Polis memohon bantuan orang ramai untuk menyalurkan maklumat di balai polis berdekatan. — Majoriti

Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram dan Telegram