Penduduk Kampung Padang Serai mahu masalah banjir selesai segera


  • Massa
  • Selasa, 13 Dis 2022

Penduduk terpaksa mengambil masa untuk membersihkan rumah mereka ekoran masalah banjir.

PENDUDUK Kampung Padang Serai di Beruas, Perak mahu pihak berkuasa mengambil langkah segera bagi mengelakkan banjir kilat berulang di kampung itu.

Banjir di Kampung Padang Serai mengambil masa untuk surut dan makan masa berminggu-minggu memandangkan kawasan itu dikelilingi ladang kelapa sawit.

Setiap kali hujan lebat turun, penduduk akan dihantui ketakutan kerana risau kampung mereka akan dinaiki air.

Ketakuan mereka semakin memuncak terutamanya selepas dilanda banjir pada 15 November lalu yang menenggelamkan rumah mereka dan makan masa berjam-jam untuk surut.

Malah, sebanyak 182 orang daripada 57 keluarga telah dipindahkan ke pusat pemindahan sementara (PPS) di Sekolah Agama Rakyat Padang Serai dari 15 November hingga 5 Disember lalu.

Menurut penduduk kampung, Sungai Beruas terletak di kawasan yang lebih tinggi manakala kampung pula di kawasan yang rendah.

Masalah lain adalah disebabkan oleh pembetung sempit yang tidak cukup lebar untuk menampung isipadu air yang tinggi semasa hujan lebat.

Rashid Mad Noh yang menetap di kampung itu selama 40 tahun berkata, penduduk kampung sudah bertahun-tahun berdepan dengan banjir ketika musim tengkujuh.

Rashid, 77, berkata, banjir pada 15 November lalu adalah yang paling teruk kerana air menembusi penghadang yang dipasang di rumahnya.

"Air mencecah paras pinggang di beberapa rumah jiran saya," katanya.

Walaupun Jabatan Pengairan dan Saliran (JPS) telah menjalankan kerja-kerja pembaikan lebih setahun lalu, Rashid percaya ia tidak banyak membantu kerana kampung itu dilanda banjir sekali lagi.

Rashid berkata, dia terpaksa menyelamatkan isteri dan cucunya yang berusia 11 tahun apabila paras air mula naik sekitar pukul 2 pagi pada 15 November lalu.

Isterinya, Siti Hawah Salleh, 78, yang mengalami masalah lutut berkata, jiran yang tinggal di kawasan tinggi datang membantu.

"Mereka tiba dengan bot dan menyelamatkan kami sebelum dibawa ke pusat pemindahan berhampiran," katanya sambil menambah bahawa keluarga itu baru pulang ke rumah pada 5 Disember lalu

Siti Hawah berkata, berdasarkan pengalaman banjir sebelum ini, dia akan mengambil masa beberapa minggu untuk membersihkan rumah secara menyeluruh.

"Kebanyakan perabot, tilam, dan tikar lantai kami rosak," katanya.

Ahmad Awang Kasa, 52, berkata, projek mendalamkan sungai telah dijalankan sejak enam tahun lalu.

Beliau berkata, JPS perlu menjalankan kerja-kerja penyelenggaraan sungai sekurang-kurangnya dua atau tiga tahun sekali.

"Sekiranya terdapat rumput dan sampah di sungai serta di saluran air, maka ia pasti melimpah," katanya.

Ahmad berkata, kebanyakan perabot dan barangan elektriknya musnah dalam banjir.

"Saya simpan semua barang penting di tempat yang lebih tinggi tetapi saya terlupa tentang komputer meja yang akhirnya rosak.

"Sehari sebelum banjir melanda, saya menaikkan peti sejuk dan mesin basuh pada batu bata tetapi itu tidak banyak membantu kerana paras air naik lebih tinggi daripada jangkaan.

"Saya hanya boleh memikirkan tentang keselamatan ibu bapa saya yang sudah tua dan isteri saya apabila air mula naik," katanya.

Azizah Baharuddin, 61, yang tinggal bersendirian selepas suaminya meninggal dunia 10 tahun lalu berkata, pintu kacanya pecah akibat impak banjir.

"Sepanjang 20 tahun saya tinggal di sini, banjir kali ini adalah yang paling teruk.

"Banjir pada 2014 dan 2016 juga teruk tetapi air tidak memasuki rumah kami.

"JPS melakukan beberapa kerja tebatan selepas itu supaya tiada banjir besar tahun lalu.

"Bagaimanapun, kali ini hujan turun dengan lebat dan berterusan hingga menyebabkan rumah kami separa tenggelam," katanya sambil menambah permaidani, pakaian, perabot dan pasu bunganya musnah dalam banjir.

Ahmad Shahdan, 65, berkata, dia mengakui rasa resah pada 15 November lalu kerana hujan turun tanpa henti.

"Paras air naik dengan cepat sehingga paras pinggang.

"Saya dan isteri terpaksa meredah air untuk mendapatkan bantuan rakan-rakan yang bernasib baik membawa bot untuk membawa kami keluar.

"Saya tidak sempat menyimpan barang saya di tempat yang lebih tinggi dan kebanyakannya sudah rosak," katanya yang sempat meletakkan kereta dan motosikalnya di kawasan yang lebih tinggi sebelum itu.

Seorang lagi penduduk kampung yang terjejas, Saad Darus, 62, berkata, lebih 20 ekor ayamnya mati malam itu.

"Memang benar, air mula naik, dan saya mengejutkan isteri dan tiga anak saya untuk menyelamatkan diri.

"Bahagian paling teruk jika dilanda banjir ialah proses pembersihan selepas itu dan jiran tidak dapat membantu kami kerana mereka turut terjejas," tambahnya.

Suri rumah, Siti Khadijah Mohd Sabri, 22, berkata ini adalah pengalaman pertamanya berdepan banjir sebegitu sebagai seorang wanita dan ibu yang sudah berkahwin.

"Saya pernah tinggal di rumah datuk dan nenek saya, dan mereka tahu apa yang perlu dilakukan.

"Kali ini, hanya suami saya, bayi berusia setahun dan saya di rumah, jadi kami panik apabila air mula naik," katanya sambil menambah ahli keluarga mereka datang menyelamatkan mereka.

Ahli Dewan Undangan Negeri (Adun) Pengkalan Baru, Azman Noh berkata, bentuk muka bumi geografi kampung itu seperti kawah yang menakung air dalam tempoh yang lama dan memerlukan masa untuk air surut.

Jelasnya, walaupun sebuah penambat telah dibina di sungai itu dahulu, air masih melimpah akibat hujan yang berlebihan.

Azman berkata, dia dimaklumkan oleh JPS bahawa projek tebatan banjir bernilai RM33 juta telah dirancang untuk kawasan itu.

"Tender projek itu akan bermula awal tahun depan. Saya harap kerja-kerja dijalankan segera, supaya penduduk kampung tidak berdepan dengan banjir pada musim tengkujuh akan datang.

"Saya diberitahu oleh JPS bahawa rancangan itu termasuk mewujudkan kolam tadahan, mendalamkan sungai dan menggantikan pembetung," katanya.

Azman berkata, pembetung di jalan utama dari Beruas ke Parit dan dari bahagian lain jalan menuju ke Ayer Tawar mesti dinaik taraf.

Jelasnya, satu cara untuk berbuat demikian ialah menukar pembetung yang dibina kira-kira 80 tahun lalu.

"Saya rasa jika ini dilakukan, masalah itu dapat diatasi kerana pembetung yang ada sekarang adalah kecil dan tidak dapat menampung air dalam jumlah yang banyak.

"Walaupun JPS membersihkan sungai setiap tahun, air masih melimpah dan masalah banjir masih belum selesai," katanya. — Majoriti

Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram dan Telegram