Ditamatkan perkhidmatan, bekas KPPA ambil tindakan undang-undang


  • Primer
  • Selasa, 13 Dis 2022

Mohd Syafiq ditamatkan perkhidmatan berkuat kuasa pada Isnin. — Bernama

DATUK Seri Mohd Shafiq Abdullah akan mengambil tindakan undang-undang terhadap mana-mana pihak yang menganiayainya sehingga perkhidmatannya sebagai Ketua Pengarah Perkhidmatan Awam (KPPA) ditamatkan berkuat kuasa pada Isnin.

Melahirkan rasa tidak puas hati dengan keputusan penamatan perkhidmatannya itu, Mohd Shafiq berkata, dia terkilan dengan tindakan kerajaan menamatkan perkhidmatannya meskipun telah menyumbang tenaga dan fikiran selama 30 tahun dalam perkhidmatan awam.

Mohd Shafiq juga menjelaskan bahawa beliau hanya menerima surat penamatan perkhidmatan bertarikh 1 Disember lalu pada Isnin iaitu hari sama perkhidmatannya ditamatkan.

"Saya tidak diberikan notis yang munasabah yang mana tarikh berkuat kuasa penamatan perkhidmatan saya adalah pada 12 Disember 2022 hari yang sama," katanya.

Mohd Shafiq mendakwa, terdapat usaha untuk menghalangnya bertindak dengan efisien dan segera sejak menjawat jawatan KPPA, apabila beberapa mesyuarat penting kenaikan pangkat telah ditangguh oleh Ketua Setiausaha Negara sebagai Tuan Pengerusi Mesyuarat seperti Mesyuarat Lembaga Kenaikan Pangkat Perkhidmatan Awam.

"Saya juga tidak boleh membuat keputusan sewenangnya untuk melantik dan memberikan kenaikan pangkat pegawai awam kerana ia perlu melalui Mesyuarat Lembaga dan kelewatan mengadakan Mesyuarat Lembaga telah menyebabkan banyak jawatan penting yang kosong di dalam sektor awam tidak dapat diisi dengan segera, terutamanya di peringkat pengurusan tertinggi kementerian atau agensi," katanya

Mohd Shafiq mendakwa, beberapa usaha tanpa henti telah dilaksanakan untuk memburukkan imej dan reputasi beliau melalui isu-isu viral di media sosial dan media massa yang semakin memuncak dengan tindakan penamatan perkhidmatannya pada Isnin.

"Untuk maklumat rakyat Malaysia, saya menegaskan bahawa saya tidak pernah mengancam kepentingan awam dalam sebarang perkhidmatan dan tindakan saya semasa menjawat jawatan sebagai KPPA, saya telah menjalankan tugas saya secara amanah dan tegas," katanya.

Menurut Mohd Shafiq, sejak menerajui perkhidmatan awam banyak pelaksanaan penambahbaikan telah diusahakannya termasuk arahan pusingan kerja, lawatan mengejut turun padang, memberikan teguran untuk meningkatkan kualiti penyampaian perkhidmatan, mengurangkan kerenah birokrasi dan meningkatkan kecekapan.

Mohd Shafiq mendakwa, tindakan yang diambilnya itu tidak disenangi oleh segelintir pegawai awam yang mempunyai kepentingan di dalam perkhidmatan awam dan juga bersama pihak luar.

Beliau juga mendakwa Jemaah Menteri sebelum ini telah memutuskan untuk tidak mempertimbangkan penyambungan perkhidmatan Pegawai Awam secara kontrak bagi yang telah bersara kerana ia akan memberikan beban kewangan kepada kerajaan dengan pembayaran pencen dan gaji pada masa yang sama.

"Pelaksanaan keputusan Jemaah Menteri ini juga tidak dapat dilaksanakan segera disebabkan tekanan oleh pihak-pihak yang berkepentingan," katanya.

Terdahulu, Ketua Setiausaha Negara, Tan Sri Mohd Zuki Ali berkata, kerajaan memutuskan untuk menamatkan perkhidmatan Mohd Shafiq KPPA berkuat kuasa 12 Disember lalu.

Dalam kenyataan itu, Mohd Zuki berkata, penamatan itu selaras dengan Peraturan 49(3) Peraturan-Peraturan Pegawai Awam (Kelakuan dan Tatatertib) 1993 [P.U. (A) 395/1993] dan dibersarakan mengikut Subseksyen 10(5)(d) Akta Pencen 1980 [AKTA 227] yang membolehkan beliau menikmati semua faedah persaraan yang layak baginya. — Majoriti

Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram dan Telegram