RAMAI yang mengakui sistem pendidikan negara nampak sedikit terganggu ekoran pandemik Covid-19 yang melanda negara.
Tempoh dua tahun selepas Covid-19 memperlihatkan sesi pembelajaran di sekolah perlu ditingkatkan untuk mengembalikan semula jaminan tahap pendidikan murid-murid.
Pengasas Skolar Malaysia, Dr Mohamad Tazli Azizan berkata, negara tidak perlu kembali ke sistem pendidikan seperti sebelum Covid-19 melanda.
"Sebenarnya kita sudah ada blueprint yang dirancang. Sekarang adalah masa terbaik untuk kita tingkatkan ke sistem pendidikan abad ke-21 yang tertangguh sebelum ini kerana Covid-19.
"Ada empat perkara yang perlu dilihat untuk step up sistem pendidikan," katanya kepada Majoriti.
Pengasas Skolar Malaysia, Dr Mohamad Tazli Azizan
Kurangkan silibus pembelajaran
Pengasas Skolar Malaysia, Dr Mohammad Tazli Azizan berkata, sudah tiba masanya untuk sistem pendidikan negara ditingkatkan seperti yang dirancang sebelum ini.
"Kita sudah melalui fasa Covid-19 dan saya rasa kita tidak sepatutnya kembali ke sistem pendidikan seperti sebelum ini. Sebaliknya perlu kita perlu step up.
"Sekarang kita perlu atasi masalah keciciran pelajaran dalam tempoh dua sebelum ini dengan intervensi baharu untuk menarik minat murid-murid ke sekolah," katanya.
Menurut Mohammad Tazli, ada beberapa tindakan yang perlu diambil sistem pendidikan dengan yang pertama menerusi Kementerian berkaitan.
Jelasnya, silibus yang ada sekarang terlalu padat sehingga menyukarkan para guru untuk menjadikan pendidikan sebagai sesuatu yang menyeronokkan.
Ekosistem untuk membantu murid-murid lebih kreatif di sekolah perlu dilaksanakan.
Pentadbir perlu lebih terbuka
Menurut Dr Mohamad Tazli, pentadbir sekolah perlu bersikap lebih terbuka terutamanya melibatkan arahan dari Kementerian Pendidikan.
"Maksudnya, pentadbiran sekolah kena lihat demografik pelajar. Sejauh mana pelajar-pelajar ketinggalan di sekolah.
"Kena cipta satu ekosistem yang dapat bantu anak-anak supaya dapat lebih kreatif di sekolah," katanya.
Ujarnya, perlu ada galakan terutamanya melibatkan murid-murid untuk terlibat dengan pelbagai aktiviti di sekolah.
Para guru perlu diberi lebih latihan untuk meningkatkan idea murid-murid.
Pemerkasaan guru
Satu lagi yang disentuh Dr Mohamad Tazli adalah berkenaan dengan pemerkasaan guru dalam mengajar.
Jelasnya, dia melihat latihan terhadap guru untuk mengajar sangat kurang sedangkan perkara itu penting untuk meningkatkan idea murid-murid.
"Saya nampak guru hanya diminta untuk deliver tetapi tidak diberikan latihan yang betul.
"Sebab itu kena ada latihan kerana sistem pendidikan sekarang perlu ada banyak penglibatan murid-murid dalam kelas.
"Bukan lagi sekadar susun meja menghadap ke depan sahaja," katanya.
Ibu bapa perlu ambil tahu masalah yang dihadapi anak-anak di sekolah.
Peranan ibu bapa
Selain peranan kementerian, sekolah dan guru, Dr Mohammad Tazli turut mengakui bahawa ibu bapa juga memainkan peranan penting dalam memastikan sistem pembelajaran berjalan lancar.
"Ibu bapa perlu luangkan masa berbual dengan anak-anak untuk mengetahui mood mereka di sekolah.
"Segala masalah yang mereka hadapi boleh dilanjutkan ke guru kelas untuk penambahbaikan," katanya.
Ujarnya, ibu bapa dalam kalangan profesional juga boleh turun padang untuk melaksanakan aktiviti seperti storytelling semasa rehat, DIY dan pelbagai lagi.
Tambahnya, perkara ini sangat penting untuk mengembalikan rasa murid-murid untuk ke sekolah kerana ada penglibatan orang lain. — Majoriti
Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram dan Telegram