Kapten industri jangan tamak, tolong kurangkan untung demi ringankan beban rakyat


  • Massa
  • Sabtu, 10 Dis 2022

Beberapa harga barangan mentah mencatatkan kenaikan hingga merunsingkan pengguna.

SABAN hari media melaporkan kenaikan harga barang yang merisaukan rakyat khususnya golongan kurang berkemampuan.

Presiden Persatuan Pengguna Subang dan Shah Alam (Cassa), Datuk Dr Jacob George berkata, banyak aduan diterimanya sepanjang lawatan ke seluruh negara.

1384431

Presiden Persatuan Pengguna Subang dan Shah Alam (Cassa), Datuk Dr Jacob George.

"Memang kita dapat maklum balas berkaitan keadaan sekarang yang teruk sebab hari-hari harga barang akan naik.

"Perkara itu memang tidak dinafikan dan sesuatu perlu dirancang melibatkan semua pihak untuk menangani perkara ini," katanya kepada Majoriti.

Menurut Jacob, kapten industri seperti pasar raya besar dan sebagainya yang mempunyai keuntungan besar perlu memainkan peranan penting untuk membantu negara.

Jelasnya, mereka tidak boleh bersikap tamak untuk mengaut keuntungan besar sahaja ketika rakyat berdepan kesukaran.

"Pasar raya besar ini mempunyai keuntungan yang besar, jadi mereka boleh kecilkan sedikit keuntungan dengan menurunkan harga jualan sekali gus dapat membantu rakyat.

"Jika mereka bersetuju untuk mengecilkan margin keuntungan, perkara ini akan memberi kesan yang besar kepada negara dan rakyat khususnya," katanya.

Daripada segi bantuan pula katanya, kapten industri boleh meminta bantuan daripada kerajaan untuk bantu mereka meringankan beban rakyat.

Jelasnya, ada banyak mekanisma untuk kerajaan bantu seperti subsidi dan sebagainya.

"Apa yang pentig ialah perlu ada perbincangan yang telus untuk mencapai kata sepakat dan bekerjasama bagi membantu satu sama lain," katanya.

Menurut Jacob, dia tidak nafikan walaupun sudah tiga tahun Covid-19 melanda negara, harga barang masih lagi sukar dikawal.

Tambahnya, kerajaan sekarang perlu memanggil persatuan-persatuan pengguna yang tahu masalah kenaikan harga barang untuk sama-sama memikirkan penyelesaian. — Majoriti

Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram dan Telegram