SEJAK pandemik Covid-19 melanda negara, takwim persekolahan yang sepatutnya bermula pada Januari telah dianjak kepada Mac.
Sesi persekolahan yang dianjak itu masih kekal hingga kini sekali gus menimbulkan kerisauan kepada ibu bapa dan guru yang mahukan takwim persekolahan mereka kembali seperti sebelum pandemik.
Pensyarah Pusat Kajian Pendidikan dan Kesejahteraan Komuniti Universiti Kebangsaan Malaysia, Dr. Anuar Ahmad berkata, dia turut menerima rungutan yang sama berkaitan perkara itu.
Pensyarah Pusat Kajian Pendidikan dan Kesejahteraan Komuniti Universiti Kebangsaan Malaysia, Dr. Anuar Ahmad.
"Ada dua sebab mengapa penjadualan sesi persekolahan perlu dianjak semula seperti sebelum pandemik kerana tempoh itu sudah dilakukan sejak sekian lama.
"Apatah lagi negara sering berdepan dengan musim tengkujuh pada hujung tahun yang mana banyak sekolah berdepan masalah banjir.
"Jika ikut amalan sebelum ini, hujung tahun adalah waktu kita bercuti dan menerusi cara itu, kita dapat selamatkan sistem pendidikan ekoran sekolah ditutup kerana banjir. Ini lebih memudahkan kita," katanya kepada Majoriti.
Menurut Dr Anuar, pandemik sekarang sudah berada dalam fasa yang terkawal dan Kementerian Pendidikan patut ambil tahu permintaan dan pandangan daripada guru serta ibu bapa.
Jelasnya, kalau tidak dianjak, isu ini akan terus berlarutan dan tidak akan bertemu jalan penyelesaian.
"Sebenarnya perkara ini boleh sahaja diselesaikan dengan mudah kerana perubahan takwim sekolah seperti sebelum ini tidak mempunyai apa-apa implikasi kewangan dan sebagainya," katanya.
Namun, Dr Anuar berkata, apa yang menjadi isu ialah melibatkan pelajar tingkatan lima yang akan mengambil peperiksaan Sijil Pelajaran Malaysia (SPM) pada tahun depan.
Tambahnya, isu itu pun boleh diselesaikan dengan membenarkan jadual pelajar tingkatan lima dan empat berakhir pada Mac manakala pelajar lain kembali ke jadual persekolahan sebelum ini iaitu Januari hingga Disember. — Majoriti
Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram dan Telegram