Jika peroleh undian tertinggi, calon tarik diri tetap diisytihar sebagai pemenang


  • Politik
  • Rabu, 07 Dis 2022

Abdul Ghani Salleh (dua kiri) meninjau pusat mengundi bagi PRU15 Parlimen Padang Serai di Sekolah Menengah Kebangsaan Sultan Badlishah di Kulim, Kedah pada Rabu. — Bernama

CALON yang menarik diri dan memberi laluan kepada calon parti lain pada Pilihan Raya Umum ke-15 bagi Parlimen Padang Serai serta Dewan Undangan Negeri (DUN) Tioman akan tetap diisytiharkan sebagai pemenang sekiranya memperoleh jumlah undi yang tertinggi.

Pengerusi Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR), Tan Sri Abdul Ghani Salleh berkata, ia kerana kesemua calon sedia ada telah disahkan layak bertanding pada hari penamaan calon 24 November lepas.

"Kita akan umum (nama calon yang menang walaupun mereka menarik diri). Calon yang (boleh) tarik diri hanya pada waktu pencalonan (antara pukul 9 hingga 10 pagi) pada hari berkenaan sahaja.

"Jadi selepas pukul 10 pagi sudah tidak boleh (menarik diri) kerana telah disahkan layak bertanding,” katanya kepada pemberita selepas meninjau pusat pengundian PRU15 Parlimen Padang Serai di Sekolah Menengah Kebangsaan Sultan Badlishah di Kulim, Kedah pada Rabu.

Pada 29 November lepas, Pakatan Harapan (PH) memutuskan untuk memberi laluan kepada calon Barisan Nasional (BN) di DUN Tioman sebagai tanda kesepakatan kerajaan perpaduan di peringkat negeri dan nasional.

Selepas itu, langkah yang sama turut diambil di Parlimen Padang Serai dengan calon Warisan turut mengumumkan untuk memberi laluan kepada PH selepas hari penamaan calon bagi kawasan itu selesai.

BN turut membuat keputusan untuk menarik diri daripada bertanding pada PRU15 Parlimen Padang Serai dan memberi laluan kepada PH beberapa jam sebelum hari pengundian awal dijalankan pada 3 Disember lepas.

Parlimen Padang Serai menyaksikan pertembungan enam penjuru antara Dr Mohamad Sofee Razak (PH), Datuk Azman Nasrudi (Perikatan Nasional), Datuk C. Sivaraj (BN), Hamzah Abd Rahman (Pejuang), Mohd Bakhri Hashim (Warisan) dan calon Bebas, Sreanandha Rao.

PRU15 DUN Tioman pula melibatkan penyandang daripada BN Datuk Seri Mohd Johari Hussien, Mohd Fadzli Mohd Ramly (PH), Sulaiman Bakar (Bebas), Osman Bakar (Pejuang) dan calon PN Nor Idayu Hashim.

Sementara itu, Abdul Ghani menyasarkan statistik keluar mengundi antara 60 hingga 75 peratus pada PRU15 di Parlimen Padang Serai dan DUN Tioman, pada Rabu.

Justeru, beliau meminta majikan supaya memberi kebenaran kepada pekerja yang layak mengundi di kawasan masing-masing untuk keluar menunaikan tanggungjawab mereka.

Setakat 11 pagi Rabu, SPR merekodkan sebanyak 28 peratus statistik keluar mengundi bagi Parlimen Padang Serai dan 27 peratus bagi DUN Tioman. — Bernama

Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram dan Telegram