Siapa Ketua Pembangkang sudah diputuskan, kata Muhyiddin


  • Politik
  • Selasa, 06 Dis 2022

Muhyiddin (duduk, tengah) menafikan sekeras-kerasnya tohmahan bahawa, sebahagian dana Pilihan Raya PN adalah hasil sumbangan syarikat perjudian.

NAMA Ketua Pembangkang akan diumumkan Perikatan Nasional (PN) sebelum 19 Disember ini, kata Tan Sri Muhyiddin Yassin.

Pengerusi PN itu berkata, calon Ketua Pembangkang itu telah pun diputuskan dalam mesyuarat tertinggi yang diadakan dua hari lalu.

"Kita sudah mengadakan mesyuarat majlis tertinggi Perikatan Nasional, dua hari lepas kita sudah buat keputusan siapa. Masanya, kita akan umumkan sebelum 19 hari bulan akan datang ini," katanya.

Pada Isnin, Timbalan Presiden PN, Tan Sri Abdul Hadi Awang memaklumkan gabungan parti berkenaan sudah melantik Ketua Pembangkang di Dewan Rakyat.

Namu, beliau tidak memaklumkan nama individu yang telah dilantik dan meminta menunggu kenyataan rasmi daripada PN.

Sementara itu, dalam perkembangan lain, Muhyiddin menafikan sekeras-kerasnya tohmahan bahawa, sebahagian dana Pilihan Raya PN adalah hasil sumbangan syarikat perjudian.

Katanya, tuduhan dibuat Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim amat berat dan beliau seharusnya mengemukakan bukti berhubung dakwaan tersebut.

Justeru katanya, pihaknya sedang mempertimbangkan untuk mengambil tindakan terhadap pihak yang melemparkan fitnah terhadap parti itu.

"Ya fitnah, apa bukti? Tuduhan itu mudah dibuat. Kami ada prinsip kalau pun kita nak terima bantuan, kita tak akan terima daripada sumber yang haram dan saya tahu judi adalah haram. Saya tak tahu macam mana Perdana Menteri boleh buat tohmahan dan tuduhan yang berat itu.

"Hanya kerana kami menang, kerana kami gerakkan jentera kita dengan begitu berkesan dan mengalahkan mereka sampai Umno 0 di lapan buah negeri, itu bukan bermakna bahawa kita mempunyai peruntukan besar.

"Parti kita (Bersatu) muncul lima tahun dahulu, PN baru dua tahun, berbanding dengan PKR yang sudah berpuluh tahun. Saya tak nak tuduh, dia pun dapat bantuan juga, jadi saya kira setakat ini itu adalah tuduhan amat berat. Kita tengoklah apa yang patut kita buat," ujarnya lagi.

Muhyiddin berkata demikian dalam sidang media, selepas majlis ceramah Grand Finale bersama kepimpinan PN di Taman Selasih, Kulim, Kedah pada Isnin malam.

Pada Isnin, Anwar yang juga Pengerusi Pakatan Harapan (PH) membayangkan, sebahagian sebahagian dana pilihan raya PN datang daripada syarikat perjudian yang terlibat dengan cabutan khas judi. — Astro Awani

Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram dan Telegram