[VIDEO] 'King' lagak samseng di PJ, berani tunjuk isyarat lucah, ludah kereta mangsa


  • Tular
  • Rabu, 30 Nov 2022

Tangkap layar video pemandu Myvi menunjukkan isyarat lucah dan meludah ke arah kenderaan mangsa.

TULAR sebuah video pemandu kereta jenis Perodua Myvi bertindak memberhentikan kenderaan di tepi jalan kerana dipercayai tidak berpuas hati dengan seorang pengguna jalan raya lain di sekitar kawasan Petaling Jaya pada Selasa.

Kejadian tersebut berjaya dirakam menerusi kamera papan pemuka (dashcam) kenderaan mangsa.

Menerusi rakaman video tersebut, mangsa pada mulanya sedang menggunakan jalan tersebut sebelum tiba di satu persimpangan.

Ketika kejadian, sebuah kereta Myvi berwarna biru sedang memberi signal untuk memasuki laluan tersebut namun mangsa kelihatan teragak-agak untuk memberikan laluan.

Namun selepas mangsa melepasi persimpangan itu, secara tiba-tiba pemandu Myvi itu memecut laju dari arah tepi sebelum memberhentikan kenderaan di hadapan kereta mangsa.

Berdasarkan video berdurasi satu minit, suspek kemudiannya keluar dari kereta lalu memarahi mangsa kerana dipercayai tidak berpuas hati serta menunjukkan isyarat lucah sebelum meludah ke arah kenderaan mangsa dan beredar dari kawasan terbabit.

Menerusi tinjauan Majoriti di ruangan komen, orang ramai turut tidak berpuas hati dengan sikap suspek yang berkelakuan seperti samseng jalanan.

"Orang itu tak berhenti sebab itu jalan dia, kau baru ambil lesen ke? Dia dah bagi laluan kau pula tak nak lalu," ujar Shankly Abd.

"Manusia macam inilah yang buatkan orang ramai beri persepsi buruk terhadap pemandu Myvi yang lain, sebelum bertindak itu tolong fikir panjang dulu," jelas Daud Zikir.

"Kau dahlah berhentikan kereta tepi jalan macam itu, selamat tak jadi apa-apa, kalau ada kereta dekat belakang itu sia-sia sahaja jadi benda lain," kata Noor Aini.

Peringatan buat semua jika berada di simpang tiga atau simpang T, kita kena berhenti di persimpangan terlebih dahulu.

Pastikan kenderaan daripada laluan utama atau daripada arah kanan selesai melintasi persimpangan. Barulah kita boleh keluar daripada simpang dengan selamat.Majoriti

Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram dan Telegram