Persatuan pengguna mahu isu air ditangani segera


  • Primer
  • Isnin, 05 Dis 2022

Beberapa daerah di Sabah berdepan masalah air saban hari.

JABATAN Air Sabah digesa berganding bahu dan menyelesaikan masalah bekalan air yang dihadapi rakyat.

Presiden Persatuan Pengguna Bijak Pantai Barat Sabah, David Chen berkata, isu itu telah membelenggu pengguna selama bertahun-tahun.

"Kami menerima banyak aduan dan masalah mengganggu kehidupan seharian penduduk di Sabah.

"Kami berharap pihak berkenaan dapat melihat secara serius perkara ini dan menyelesaikan masalah tersebut.

"Tiada hari yang tidak berlaku gangguan atau kekurangan air di Sabah," katanya pada Isnin.

Untuk rekod, pada Isnin lalu, sekurang-kurangnya lapan daerah iaitu Kunak, Merotai, Kinabatangan, Tawau, Sipitang, Kota Belud, Penampang dan Tamparuli telah dikeluarkan notis kekurangan, gangguan dan catuan.

Malah, dilaporkan berpuluh-puluh ribu pengguna terjejas oleh isu sedemikian setiap hari.

Chen berkata, orang ramai sudah letih dan muak dengan keadaan yang semakin menyusahkan sejak pandemik Covid-19 dan tidak ada peningkatan sehingga kini.

Jelasnya, ramai yang tidak dapat menjalankan tugas harian lebih-lebih lagi mereka yang terpaksa menjaga orang sakit, orang tua dan kanak-kanak.

Dia juga menggesa mereka yang berkuasa supaya tidak membiarkan keadaan itu berterusan.

"Apakah tindakan segera? Apakah penyelesaian jangka pendek dan panjang untuk masalah ini?

"Pihak berkuasa Jabatan Air Sabah mesti duduk dan berbincang dengan kerajaan baharu untuk mencari penyelesaian yang boleh dilaksanakan," katanya. — The Star

Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram dan Telegram