Polis tahan lelaki serang penghantar makanan guna pisau lipat, pedang 


  • 112
  • Isnin, 05 Dis 2022

Siasatan awal mendapati kejadian berpunca apabila berlaku salah faham mengenai harga penjualan minuman antara mangsa dan suspek.

POLIS menahan seorang lelaki bagi membantu siasatan kes menyerang seorang penghantar makanan dan ibu angkatnya dengan pisau lipat dan pedang, 25 November lepas.

Ketua Polis Daerah Ampang Jaya Asisten Komisioner Mohamad Farouk Eshak berkata, lelaki berusia 48 tahun itu ditahan selepas menyerah diri di Balai Polis Taman Melawati, di Kuala Lumpur, pada pukul 1.30 tengah hari pada Ahad.

"Dalam kejadian pada pukul 8.30 malam itu, penghantar makanan berusia 22 tahun dan ibu angkatnya (umur tidak dinyatakan) telah didekati suspek yang menaiki kereta jenis Proton Exora sewaktu berada di sebuah stesen minyak di Taman Melawati.

"Suspek kemudian mengacu sebilah pisau lipat dan pedang berukuran 52 sentimeter ke arah mangsa dan ibu angkat mangsa,” katanya dalam kenyataan pada Isnin.

Mohamad Farouk berkata, suspek juga mengugut untuk mengelar leher wanita berkenaan bagaimanapun penghantar makanan dan ibu angkatnya itu tidak mengalami sebarang kecederaan.

Beliau berkata, siasatan awal mendapati kejadian berpunca apabila berlaku salah faham mengenai harga penjualan minuman antara mangsa dan suspek.

"Suspek tidak mempunyai sebarang rekod jenayah lampau dan permohonan reman ke atasnya akan dibuat hari ini di Mahkamah Ampang bagi membantu siasatan mengikut Seksyen 506 Kanun Keseksaan kerana ugutan jenayah,” katanya. — Majoriti

Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram dan Telegram