'Sudah-sudahlah main wayang politik' — Muhyiddin


  • Politik
  • Isnin, 05 Dis 2022

Muhyiddin menasihatkan ahli politik PH dan Umno tidak perlu menuding jari sebaliknya menyelesaikan masalah rakyat.

BEKAS Perdana Menteri, Tan Sri Muhyiddin Yassin menempelak sikap menteri baharu Kerajaan Perpaduan yang mula menunjukkan 'belang' dengan mengeluarkan kenyataan fitnah terhadap beliau.

Bagi menjawab tuduhan yang dilemparkan ke atas dirinya di Facebook, Pengerusi Perikatan Nasional (PN) berkata, terdapat beberapa ahli Parlimen mengeluarkan kenyataan fitnah berhubung isu penyelewengan dana kerajaan bernilai RM600 bilion.

"Ahli Parlimen Hulu Langat daripada gabungan Pakatan Harapan (PH) telah membuat laporan polis terhadap saya kononnya saya telah menyeleweng dana kerajaan berjumlah RM600 bilion.

"Sementara ahli Parlimen Lembah Pantai yang baru dilantik sebagai Menteri Komunikasi Digital juga membuat tuduhan sama terhadap saya," katanya di Facebook pada Isnin.

Kata Muhyiddin, ahli Parlimen Lembah Pantai sebelum itu membuat kenyataan bahawa Datuk Seri Anwar Ibrahim telah mengarahkan polis supaya menyiasat Tan Sri Abdul Hadi Awang atas dakwaan menuduh Perdana Menteri sebagai ejen Israel.

Interview with Fahmi Fadzil on his manifesto. — LOW LAY PHON/The Star

Ahli Parlimen Lembah Pantai, Ahmad Fahmi Mohamed Fadzil.

"Polis kemudiannya menafikan Abdul Hadi disiasat. Nampaknya, baru beberapa hari menjadi kerajaan, PH tanpa segan silu telah menggunakan pihak polis untuk menekan pemimpin yang tidak sehaluan dengan mereka.

"Ini dengan jelas langkah untuk memastikan pihak yang tidak sehaluan berdiam diri. Ia berbeza sekali dengan janji reformasi institusi mereka untuk menjamin kebebasan institusi-institusi penting negara tanpa campur tangan politik termasuk PDRM.

"Apa pun, saya tidak hairan dengan kemungkiran janji-janji mereka. Sebelum pilihan raya mereka bermati-matian menafikan akan bekerjasama dengan puak kleptokrat.

"Selepas pilihan raya, mereka tanpa segan silu berpeluk cium dan membentuk kerajaan bersama-sama, sehinggakan ada yang membuat parodi lagu “dulu benci penyamun, sekarang sayang penyamun," katanya.

Tambah Muhyiddin, beliau sendiri tidak pasti dari mana angka RM600 bilion dana kerajaan tersebut diambil.

"Saya agak ia merujuk kepada 8 Pakej Rangsangan Ekonomi bernilai RM530 bilion yang saya laksanakan semasa menjadi Perdana Menteri untuk membantu rakyat dan perniagaan yang terjejas semasa tempoh pandemik.

"Daripada keseluruhan RM530 bilion ini, sebahagian besarnya adalah berbentuk non-fiskal, iaitu tidak melibatkan perbelanjaan kerajaan.

"Ini termasuk pengeluaran KWSP i-Lestari, i-Sinar, i-Citra bernilai RM145 bilion, pengurangan pembayaran KWSP bernilai RM10 bilion, moratorium bayaran pinjaman bank untuk individu dan syarikat bernilai RM180 bilion, jaminan kerajaan untuk pinjaman syarikat bernilai RM80 bilion dan inisiatif-inisiatif lain yang bertujuan untuk meringankan beban yang ditanggung oleh individu dan perniagaan.

"Tak mungkin saya seleweng wang ini kerana ia adalah wang individu atau bank yang tidak melibatkan perbelanjaan kerajaan. Saya sebagai Perdana Menteri pada ketika itu tidak ada apa-apa kuasa ke atas penggunaan wang ini," katanya.

Muhyiddin memberitahu, menurut kenyataan Menteri Kewangan pada 29 Jun 2021, perbelanjaan yang melibatkan wang kerajaan dalam bentuk suntikan fiskal pula bernilai RM83 bilion.

"Ini termasuk perbelanjaan untuk pembelian vaksin bernilai RM5 bilion dan pelbagai bentuk bantuan langsung tunai untuk rakyat seperti subsidi upah bernilai RM20.92 bilion, Bantuan Prihatin Nasional bernilai RM18.2 bilion, Geran Khas Prihatin bernilai RM4.21 bilion, Geran Khas Prihatin Permai bernilai RM842,000,000, Skim Pembiayaan Mudah Bumiputera bernilai RM500,000,000 dan bantuan-bantuan lain yang dimasukkan terus ke akaun penerima yang layak.

"Tidak ada satu sen pun wang ini masuk ke akaun peribadi saya. Tak masuk akal wang bantuan rakyat yang dimasukkan terus ke dalam akaun mereka boleh diseleweng masuk ke akaun saya.

"Kalau hal ini berlaku, sudah tentu akan diketahui melalui penemuan audit yang dibuat oleh Jabatan Audit Negara (JAN) setiap tahun. Jawatankuasa Kira-Kira Wang Negara (PAC) sudah tentu membentangkan laporan mengenainya di Parlimen. Tak mungkin JAN atau PAC terlepas pandang," jelasnya.

kabinet-1536x940

Barisan Kabinet Kerajaan Perpaduan.

Muhyiddin berkata, beliau tidak pernah menghalang siasatan meskipun menjawat jawatan sebagai Perdana Menteri ketika itu.

"Kesemua perbelanjaan kerajaan adalah tertakluk kepada audit kerajaan. Jika terdapat penemuan audit yang mencurigakan, teguran audit boleh dibuat terhadap jabatan kerajaan yang berkenaan.

"Saya tidak takut untuk disiasat kerana tahu saya tidak seleweng duit rakyat yang diamanahkan kepada kerajaan untuk digunakan bagi tujuan membantu rakyat ketika zaman susah.

"Cuma pesan saya kepada ahli-ahli politik PH dan Umno, janganlah asyik menuding jari kepada orang lain dengan menuduh yang bukan-bukan semata-mata untuk menutup kelemahan kerajaan yang baru berusia beberapa hari ini yang kelihatan masih belum ada idea bernas untuk menyelesaikan permasalahan rakyat.

"Awak dah jadi kerajaan, act like a government. Sudah-sudahlah bermain wayang politik kerana rakyat mahu lihat apa perancangan kerajaan untuk mereka," jelasnya. — Majoriti

Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram dan Telegram