TIMBALAN Perdana Menteri, Datuk Seri Ahmad Zahid Hamidi mengingatkan Pengerusi Perikatan Nasional (PN), Tan Sri Muhyiddin Yassin untuk menghormati pelantikan tersebut kerana perkara itu sudah menerima perkenan Yang di-Pertuan Agong dan Majlis Raja-Raja Melayu.
Perkara itu diluahkan menerusi satu hantaran di laman Facebook peribadi Zahid yang menyatakan kuasa Baginda diperuntukkan di bawah Perkara 40(2)(a) dan Perkara 43 (2)(a) Perlembagaan Persekutuan.
"Pelantikan yang diperkenan oleh Yang di-Pertuan Agong, Al-Sultan Abdullah Ri'ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah ini juga selepas perbincangan khas dengan Raja-Raja Melayu di Istana Negara.
"Perbincangan khas itu juga bertujuan bagi Seri Paduka mendapat pandangan Raja-Raja Melayu untuk membolehkan Baginda membuat keputusan yang terbaik demi kepentingan dan kesejahteraan negara serta rakyat," tulisnya dalam satu kenyataan pada Ahad.
Selain itu, Pengerusi Barisan Nasional (BN) itu turut menegur tindakan Muhyiddin yang seakan-akan melabel Kabinet Menteri Kerajaan Perpaduan ditubuhkan atas dasar penipuan.
"Muhyiddin seolah-olah terus meroyan apabila gagal dilantik sebagai Perdana Menteri dan tidak sampai 24 jam Kabinet angkat sumpah menuduh pembentukan kerajaan dan Kabinet tertubuh atas penipuan terhadap mandat rakyat yang tidak mempunyai sebarang keabsahan untuk berfungsi sebagai badan eksekutif tertinggi negara," katanya.
Muhyiddin mempersoalkan pendirian Anwar selepas pengumuman Kabinet Kerajaan Perpaduan.
Ahmad Zahid yang juga Ahli Parlimen Bagan Datuk berkata, senarai Kabinet tersebut sudah mendapat perkenan Al-Sultan Abdullah sebelum diumum Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim.
Ahmad Zahid seterusnya menyatakan tindakan mempertikaikan segala pelantikan dilihat sesuatu yang tidak menghormati Institusi Raja-Raja Melayu.
Dalam pada itu, Zahid turut mengingatkan agar Ahli Parlimen Pagoh itu sepatutnya lebih memberi tumpuan dalam menjadi pembangkang yang efektif dengan sidang Parlimen bakal dimulakan pada 19 Disember ini.
"Muhyiddin perlu belajar menjadi pembangkang yang berwibawa dan bukannya merengek serta meroyan tidak dapat menerima hakikat beliau gagal menjadi Perdana Menteri dan gagal membentuk kerajaan.
"Belajarlah juga menghormati proses dan keputusan Yang di-Pertuan Agong dan Majlis Raja-Raja Melayu," katanya.
Sebelum ini, Muhyiddin dalam kenyataannya menyifatkan Anwar sanggup menggadai prinsip tatakelola yang baik seperti dijaja sepanjang kempen pilihan raya apabila melantik golongan didakwanya 'kleptokrat' untuk menganggotai Kabinet. — Majoriti
Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram dan Telegram