Undi awal bermula di Padang Serai, Tioman


  • Politik
  • Sabtu, 03 Dis 2022

Pegawai SPR melakukan persiapan terakhir sebelum proses pengundian awal di DUN Tioman.

SERAMAI 319 pengundi awal turun bagi menjalankan tanggungjawab mereka ketika proses pengundian awal bagi Pilihan Raya Umum ke-15 (PRU15) Parlimen Padang Serai di Kedah serta Dewan Undangan Negeri (DUN) Tioman di Pahang.

Proses yang bermula secara rasmi pada 8 pagi Sabtu itu menyaksikan seramai 76 anggota polis mengundi di Parlimen Padang Serai sementara 243 anggota bagi DUN Tioman.

Hanya sebuah pusat pengundian awal dibuka untuk Parlimen Padang Serai, iaitu di Dewan Serbaguna Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Kulim yang akan ditutup pada pukul 2 petang.

Bagi DUN Tioman pula, dua pusat pengundian awal dibuka di Bilik Rehat IPD Rompin bermula 8 pagi hingga 5 petang dan Bilik Maklumat Balai Polis Tekek Pulau Tioman mulai 8 pagi hingga 12 tengah hari.

Menurut kenyataan Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR), kertas undi awal tidak akan dikira hari ini dan kesemua peti undi akan disimpan di lokap balai polis untuk jagaan selamat.

PRU15 di kedua-dua kawasan berkenaan ditangguhkan selepas kematian calon yang disahkan bertanding iaitu M. Karupaiya dari Pakatan Harapan (PH) bagi Parlimen Padang Serai dan Md Yunus Ramli mewakili Perikatan Nasional (PN) di DUN Tioman.

PRU15 Parlimen Padang Serai menyaksikan pertembungan enam penjuru dengan saingan melibatkan calon PH, Barisan Nasional (BN), PN dan Pejuang, namun malam tadi BN memberi laluan kepada PH dan tidak bertanding.

DUN Tioman pula menyaksikan pertandingan lima penjuru antara calon BN, PN, PH, Pejuang dan seorang Bebas tetapi PH sudah menyatakan menarik diri daripada PRU berkenaan bagi tanda kesepakatan Kerajaan Perpaduan di peringkat negeri dan nasional. — Bernama

Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram dan Telegram