Penyokong bola sepak liga kampung bikin kecoh, gaduh selepas game suku akhir


  • 112
  • Ahad, 16 Okt 2022

Tangkap layar pergaduhan antara penyokong dua pasukan bola sepak di Hulu Terengganu pada Sabtu. — Sinar Harian

POLIS sedang menyiasat 30 individu yang terlibat dalam satu pergaduhan melibatkan hampir 30 penyokong dua pasukan bola sepak yang dilaporkan berlaku di Kuala Berang, Hulu Terengganu pada petang Sabtu.

Menurut Ketua Polis Daerah Hulu Terengganu, Deputi Superintendan Mohd Adli Mat Daud, siasatan awal mendapati satu perlawanan bola sepak peringkat suku akhir antara dua pasukan mewakili dua kampung telah berlangsung.

Katanya, perlawanan berkesudahan dengan pihak Kampung Matang FC menang dengan jaringan 1-0.

"Selepas tamat perlawanan, berlaku provokasi antara kedua-dua belah penyokong dan kekecohan berlaku di luar kawasan padang.

"Kedua-dua pihak melakukan provokasi melibatkan kira-kira 15 hingga 30 lelaki di kawasan premis sebuah kedai makan berhampiran," katanya dalam satu kenyataan pada Ahad.

Mohd Adli berkata, anggota polis peronda yang pergi ke tempat kejadian pada pukul 6.55 petang tberjaya mengawal keadaan dan meleraikan kekecohan berkenaan.

Jelasnya, tiada kecederaan dan kemalangan jiwa dilaporkan akibat kejadian itu namun berlaku beberapa kerosakan di pagar padang bola sepak manakala cermin dinding salah sebuah kedai makan turut pecah.

"Penganjur perlawanan dan kedua-dua pihak pengurusan pasukan bola sepak yang terlibat dipanggil ke Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Hulu Terengganu untuk membantu siasatan kejadian.

"Setakat ini tiada sebarang tangkapan dibuat memandangkan pihak berkaitan belum membuat laporan polis," katanya. — Majoriti

Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram dan Telegram