'Ikut macam Sarawak, bersatu hati', rakyat Sabah 'ajar' Bung Moktar cara berpolitik


  • Politik
  • Sabtu, 03 Dis 2022

Bung Moktar berkata, BN Sabah berasa tersisih dalam pembentukan Kabinet Kerajaan Perpaduan.

MESKIPUN pengumuman barisan jemaah menteri sudah dilakukan, masih ada lagi pihak dalam Kerajaan Perpaduan tidak berpuas hati.

Perkara itu diluahkan oleh Datuk Seri Bung Moktar Radin, apabila beliau secara terbuka menyatakan Barisan Nasional (BN) Sabah berasa tersisih atau dipinggirkan dalam pembentukan Kabinet Kerajaan Perpaduan.

Pengerusi BN Sabah itu berkata, ini kerana tiada seorangpun daripada tujuh ahli Parlimen Sabah dilantik sebagai menteri penuh.

file7n1tmxyd7bka0n5ncsg

Datuk Seri Fadillah Yusof mewakili Gabungan Rakyat Sarawak (GRS) dilantik sebagai TPM kedua.

Beliau menyifatkan dua menteri mewakili Sabah, masing-masing dari Pertubuhan Kinabalu Progresif Bersatu (UPKO) selaku komponen Pakatan Harapan (PH) dan Gabungan Rakyat Sabah (GRS) adalah terlalu kecil.

Katanya, jumlah itu tidak seimbang berbanding negeri jiran, Sarawak yang mendapat lima portfolio termasuk jawatan Timbalan Perdana Menteri (TPM) kedua.

file7cd88tx40dulscp0af0

Bung Moktar berucap ketika kempen pada Pilihan Raya Negeri Sabah pada September 2020.

Kenyataan itu mendapat perhatian rakyat Sabah, yang rata-ratanya menggesa agar pemimpin negeri itu bersatu dan menjadikan Sarawak sebagai contoh.

Menggunakan loghat Sabah, Sofri Bustaman berkata, sejak daripada dulu rakyat Sabah sudah bersatu, sebaliknya kebanyakan pemimpin negeri itu pula disifatkan sebagai gila kuasa.

"YB ni lumpat-lumpat (lompat parti) takut hilang kuasa sahaja, durang pikir (mereka fikir) periuk nasi dorang nombor satu, sedangkan rakyat nombor 5.

"Tak macam Sarawak, suara durang didengar sebab bersatu. Sabah ni nak bersatu tapi masih guna parti luar. Lepas ni kalau ada Pilihan Raya Umum (PRU) lagi, bagus kita kasi jalan (beri peluang kepada) imam masjid jadi calon masing-masing senang nak bincang hari-hari jumpa kat masjid," katanya menerusi komen di laman Facebook.

Abdul Majid pula menyifatkan pembangunan di Sarawak lebih maju berbanding Sabah.

Katanya, ramai graduan dan penduduk Sabah yang bekerja di Semenanjung kerana peluang pekerjaan di negeri itu terhad, manakala yang sedia ada sudah pun diisi oleh kroni-kroni keluarga.

"Dari dulu sampai sekarang di Sabah banyak ketinggalan. Sedih tengok. Gara-gara pemimpin Sabah yang tamak kuasa dan fikir sal (pasal) poket durang ja. Kalau isu politik Sabah gah dilambung sampai ke langit sudahnya hanya tin kosong," ujarnya.

Raini Repoto menulis: "Jangan pertikaikan Sarawak. Mereka satu hati, hanya satu parti ja. Bukan macam di Sabah, paling banyak parti di Malaysia. Masing-masing mau jadi bos."

Cadang Messi Hatika Guzelsin: "Buat gabungan parti Sabah, macam Sarawak. Pastikan next PRU menang besar. Baru tengok masih terpinggir atau tidak. Masalahnya, semua mau jadi kingmaker."

BN Sabah memenangi paling banyak kerusi Parlimen di Sabah dengan tujuh kerusi pada PRU15, diikuti GRS (enam), PH (lima), Warisan (tiga), Bebas (dua) serta masing-masing satu Perikatan Nasional (PN) dan Parti Kesejahteraan Demokratik Masyarakat (KDM).

BN Sabah turut menyumbang kerusi kedua terbanyak selepas BN Johor daripada 30 kerusi dimenangi BN di seluruh negara pada PRU15. — Majoriti

Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram dan Telegram