'Ini Kabinet kalut,' Hamzah dedah ada pemimpin BN, PN akui perkara sama


  • Politik
  • Sabtu, 03 Dis 2022

Kata Hamzah, Kabinet yang dibentuk itu tidak selari dengan apa yang sering diperkatakan sebelum ini, lebih-lebih lagi ketika kempen PRU15. — Bernama

PERDANA Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim akhirnya menjawab segala pertanyaan dan teka-teki rakyat berhubung barisan Kabinet selepas pengumuman itu disampaikan dalam sidang media di Putrajaya pada Jumaat.

Susulan pelantikan itu, sesetengah pihak turut menyuarakan pendapat berkenaan senarai pelantikan tersebut dan antara yang lantang bersuara adalah Datuk Seri Hamzah Zainudin.

Setiausaha Agung Perikatan Nasional (PN) itu menyifatkan barisan Kabinet yang dibentuk Anwar Ibrahim sebagai 'Kabinet kalut'.

Menurut Hamzah, beliau menerima banyak panggilan telefon daripada rakan-rakan dari PN dan Barisan Nasional (BN) yang turut menyatakan perkara yang sama.

Katanya, Kabinet yang dibentuk itu tidak selari dengan apa yang sering diperkatakan sebelum ini, lebih-lebih lagi ketika kempen Pilihan Raya Umum ke-15 (PRU15).

"Ini membuktikan bahawa dalam pilihan raya, segala yang mereka luahkan adalah sesuatu yang semata-mata untuk mencari undi sahaja.

"Tidak ada keikhlasan dan tidak ada langsung perasaan untuk membuktikan bahawa yang dikatakan itu adalah sesuatu yang akan ditunaikan.

"Maka sebab itu pelantikan ini membuktikan. Contohnya, mereka yang dilantik daripada Barisan Nasional, ada ramai lagi yang sebelum ini dikatakan akan dilantik kerana telah memberikan kemenangan, saya dengar daripada Pakatan Harapan pun ada," katanya.

Beliau berkata demikian ketika ditemui selepas majlis kesyukuran Parlimen Larut di Tapak Bazar Ramadan Selama, pada Sabtu. — Awani

Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram dan Telegram