Kos import makanan lebih murah jika nilai ringgit mengukuh — Mohamad Sabu


  • Primer
  • Sabtu, 03 Dis 2022

Mohamad Sabu dinamakan sebagai Menteri Pertanian dan Keterjaminan Makanan pada sidang media Pengumuman Kabinet Kerajaan Perpaduan oleh Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim. — Bernama

PRESIDEN Parti Amanah Negara (AMANAH), Mohamad Sabu dipilih sebagai Menteri Pertanian dan Keterjaminan Makanan dalam senarai anggota Kabinet Kerajaan Perpaduan.

Pemilihan itu diumumkan oleh Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim pada sidang media khas di Putrajaya pada Jumaat.

Susulan pelantikan itu, Mohamad menyuarakan harapan agar mata wang ringgit akan terus mengukuh sekali gus mengurangkan kos import makanan.

Menteri Pertanian dan Keselamatan Makanan yang baru dilantik itu juga berharap trend pengukuhan ringgit yang dapat dilihat selepas Pilihan Raya Umum Ke-15 (PRU15) akan berterusan.

"Pertukaran kerajaan dan pelantikan Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim menyaksikan peningkatan mendadak dalam mata wang negara dan kita harap ia akan dikekalkan dan terus bertambah baik pada masa hadapan.

"Kos import makanan akan lebih murah jika mata wang kita terus mengukuh, itu harapan kita dan peningkatan itu memang luar biasa dalam tempoh 10 hari selepas pilihan raya," katanya.

Tambahnya, walaupun mata wang mencecah kepada RM5.00 berbanding dolar AS bulan ini, namun ringgit dijangka kembali mengukuh kepada RM4.40.

Mengulas mengenai pengumuman barisan Kabinet baharu, Mohamad berkata Perdana Menteri telah mengotakan janjinya untuk membentuk Kabinet yang lebih kecil melibatkan hanya 28 menteri dalam pentadbirannya.

Ditanya sama ada Amanah berpuas hati dengan jumlah wakil pemimpin itu di dalam Kabinet, beliau berkata, pengumuman berkenaan hanya melibatkan menteri dan ia akan disusuli oleh timbalan menteri.

Terdahulu, Mohamad menghadiri program ceramah PRU15 di Padang Serai yang turut dihadiri Pengerusi Pakatan Harapan Kedah Datuk Mahfuz Omar dan Pengerusi Barisan Nasional Kedah Datuk Seri Jamil Khir Baharom. — Bernama

Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram dan Telegram