CADANGAN supaya Perdana Menteri tidak terlibat dengan pencalonan ahli Suruhanjaya Pelantikan Kehakiman (JAC) memerlukan kajian serta wajar dirunding dengan pihak berkepentingan.
Pengamal Undang-Undang, Datuk Khairul Anwar Rahmat berkata, terdapat maksud tersirat yang harus difahami dalam cadangan tersebut.
"Kita boleh menangkap maksud tersirat cadangan tersebut iaitu mengurangkan pemusatan kuasa Perdana Menteri, perkara ini perlu diperhalusi pengamal undang-undang secara keseluruhannya.
"Buat masa ini, secara pentadbiran, Perdana Menteri sebelum melantik ahli JAC akan merujuk kepada beberapa Badan Kehakiman sama ada dari Semenanjung Malaysia, Sabah dan Sarawak untuk mendapatkan maklum balas," katanya kepada Majoriti.
Datuk Khairul Anwar Rahmat
Kata Khairul, Perdana Menteri secara amalan pentadbirannya akan berunding bersama pihak atasan untuk mengelak tohmahan tidak baik terhadap ketelusan proses pelantikan hakim.
"Penambahbaikan boleh dibuat terhadap proses pelantikan ini dengan meminda akta di Parlimen dan memasukkan beberapa pengukuhan proses pelantikan supaya ia tidak semata-mata secara pentadbiran.
"Maksudnya, mesti ada panduan dan termaktub dalam undang-undang bahawa Perdana Menteri perlu berunding dengan pihak berkecuali sebelum memutuskan keahlian JAC," jelasnya.
Pada masa yang sama, Khairul memberitahu, semua pihak perlu menghormati kedudukan Perdana Menteri kerana beliau mempunyai legitimasi atau keabsahan.
Cadangan PM tidak terlibat dengan pencalonan ahli JAC perlu diperhalusi.
"Ia berikutan Perdana Menteri dipilih rakyat, sedangkan pihak yang dirundingi itu siapakah mereka? Adakah benar-benar bebas dan berkecuali serta apakah punca kuasa mereka?," soalnya.
Terdahulu, Majlis Raja-Raja menyarankan pelantikan lima lagi ahli JAC tidak dibuat oleh Perdana Menteri kerana suruhanjaya itu memainkan peranan utama dalam mengemukakan cadangan pelantikan hakim.
Baginda bertitah, keanggotaannya adalah kritikal untuk memastikan JAC terus menjadi amalan dan pegangan semua berkemampuan mengemukakan nama-nama hakim yang berintegriti dan berkaliber. — Majoriti
Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram dan Telegram