Polis cekup lelaki bawa 243kg daun ketum di Bentong


  • 112
  • Rabu, 30 Nov 2022

Sebahagian daripada ketum yang ditemukan dalam sebuah kereta di Bentong, Pahang pada Selasa.

POLIS menahan seorang lelaki warga tempatan dan merampas daun ketum dianggarkan seberat 243 kilogram (kg) menerusi serbuan ke atas sebuah kereta di Kilometer 63 Lebuhraya Kuala Lumpur-Karak di Bentong, Pahang pada pagi Selasa.

Ketua Polis Daerah Bentong, Superintenden Zaiham Mohd Kahar berkata, kereta dipandu suspek berumur 44 tahun itu ditahan oleh anggota Bahagian Pencegahan Jenayah dan Keselamatan Komuniti, Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Bentong pada pukul 3 pagi, semasa membuat rondaan di lebuh raya itu.

"Siasatan awal mendapati suspek membeli daun ketum itu di Pendang, Kedah pada harga RM10 sekilogram bagi setiap bungkusan sebelum dijual kepada pembeli di Temerloh dengan harga RM17 sebungkus," katanya dalam satu kenyataan pada Rabu.

Zaiham berkata, polis tidak menolak kemungkinan suspek juga pernah beberapa kali melakukan penghantaran daun ketum ke Pantai Timur sebelum dia ditangkap.

Suspek kini ditahan reman selama empat hari bermula semalam, bagi membantu siasatan di bawah Seksyen 30(3) Akta Racun 1952 yang memperuntukkan hukuman penjara maksimum empat tahun atau denda tidak lebih RM10,000 atau kedua-duanya, jika sabit kesalahan. — The Star

Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram dan Telegram