“Saya memang terlalu suka bermain golf sebab golf seperti salah satu terapi baik untuk kesihatan mental saya,” jawab pelawak dan usahawan, Shuib ketika disoal tentang kecintaannya mengenai sukan itu.
Jelas terpancar di wajah bapa kepada empat orang cahaya mata itu, mengatakan dia memang bersungguh-sungguh dan optimis terhadap aktiviti tersebut.
Shuib atau nama sebenarnya Shahmira Muhammad, 38, tanpa selidung mengakui sukan itu dapat membantunya untuk fokus dan berada tenang.
Shuib memberitahu, dia gemarkan persekitaran begitu dan terfikir untuk mengubah haluan kepada sukan lain.
“Apabila berasa stres, saya akan main golf dan dalam tempoh seminggu memang tidak pernah akan tinggal.
“Boleh dikatakan setiap kali kelapangan bermain golf pasti akan menjadi pilihan. Sekiranya tidak mampu untuk bermain 18 lubang, cukup sembilan lubang saya sudah puas hati,” terangnya.
Kongsi Shuib, dia akan menghabiskan masa paling lama sekitar lima jam di atas padang. Sementara jika berdepan dengan kesibukan, dia hanya meluangkan waktu antara dua atau tiga jam untuk bermain sembilan lubang.
“Alhamdulillah saya ini agak bertuah nampak seperti sibuk, tetapi banyak kerja yang sudah diuruskan oleh orang-orang yang sudah dikhaskan.
“Jadi arahan sudah diberikan dan itu memberikan saya sedikit ruang untuk melakukan aktiviti termasuk pekerjaan lain,” katanya.
Kelas orang atasan
Rancak bercerita tentang sukan kegemarannya itu, Shuib mengambil masa seketika sebelum menghela nafas bagi menjawab pertanyaan apabila aktiviti bermain golf sering dikaitkan dengan hobi mewah.
Baginya, jika dilihat secara realitinya, golf memang satu sukan mahal memandangkan memerlukan kos yang tinggi untuk bermain.
Perkara itu khususnya melibatkan peralatan seperti set kayu golf yang dianggarkan mampu mencecah puluhan ribu ringgit.
“Tapi dari pihak saya, golf ini bukan sekadar hobi sahaja, tetapi saya turut meletakkannya sebagai sebahagian daripada tuntutan dalam perniagaan.
“Kadangkala ahli perniagaan ini tidak berminat untuk mengadakan mesyuarat di pejabat kerana lebih senang di atas padang.
“Jadi saya ikut sahaja rentak itu kerana tidak dinafikan perbincangan menjadi lebih selesa dan cepat mesra.
“Saya melihat orang yang minat dengan sukan golf ini memiliki personaliti dan cara pemikiran berbeza. Walaupun tidak kenal, tetapi apabila bermain bersama, tiba-tiba berasa seperti sudah 10 tahun saling mengenali,” tuturnya.
Disebabkan itu Shuib memahami budaya dan konsep yang diguna pakai oleh ahli perniagaan memandangkan dirinya sendiri berada dalam lapangan serupa.
Mana tumpahnya kuah
Minat Shuib tidak hanya terhenti di situ. Kecenderungan terhadap sukan tersebut turut diterapkan ke dalam diri anaknya.
Beberapa tahun lalu, anak sulungnya, Uwais Al Qarni menjinak-jinakkan diri dalam sukan tersebut.
Tidak dinafikan kanak-kanak berusia 12 tahun itu mempunyai keazaman tinggi untuk melangkah lebih jauh dalam arena sukan digemarinya itu.
Bercakap tentang anak sulungnya itu, nada suara Shuib menjadi lebih bersemangat dan optimis terhadap masa depan anaknya.
“Saya, arwah (Siti Sarah Raissuddin) dan bapa mertua Raissuddin Hamzah) memang sudah merancang untuk menjadikan dia sebagai pemain golf profesional.
“Dia bukan pemain golf yang main-main sebab itu saya habiskan banyak masa dan pembelanjaan untuk dia berada sampai ke tahap yang tinggi seperti sekarang,” terangnya.
Sekitar September lalu, Uwais menyertai Kejohanan Golf Majlis Sukan Sekolah Malaysia (MSSM) 2022 dan berjaya berada di kedudukan ketujuh.
Uwais kemudian meneruskan misinya untuk terus mengukuhkan kedudukan dengan menyertai kejohanan menentang lawan yang lain.
Menurut Shuib, Uwais berada pada kedudukan tiga teratas untuk pemain golf bawah 12 tahun.
“Dia ada apa yang saya ada dan mak dia ada iaitu, semangat bersungguh-sungguh jika inginkan sesuatu. Macam mana Sarah dahulu nak jadi penyanyi sanggup berlatih lapan jam sehari dan joging setiap hari.
“Sama juga seperti dia yang berlatih setiap hari. Syukur dia tidak pernah cakap yang penat berlatih dan itu perkara yang saya suka. Memang harapan kami untuk melihat dia pergi sejauh yang mungkin. Sebolehnya saya ingin dia bermain sampai ke peringkat Olimpik,” jelasnya bersemangat. — Majoriti
Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram dan Telegram