Farid Kamil didenda RM5,000, terlepas hukuman penjara


Farid Kamil menzahirkan rasa syukur dengan keputusan mahkamah yang disifatkan terbaik untuk dirinya.

PELAKON dan pengarah, Farid Kamil Zahari mengenakan hukuman denda RM5,000 atau penjara enam bulan kerana menggunakan dadah, empat tahun lepas.

Ia merupakan susulan keputusan Mahkamah Rayuan pada Rabu membenarkan rayuan Farid Kamil selaku perayu bagi mengetepikan hukuman penjara sembilan bulan yang dijatuhkan oleh Mahkamah Majistret Petaling Jaya, Selangor pada 2019, menggantikan hukuman penjara itu dengan denda.

Panel tiga hakim diketuai Datuk Seri Kamaludin Md Said bagaimanapun mengekalkan perintah pengawasan di bawah Agensi Antidadah Kebangsaan (AADK) selama dua tahun ke atas pelakon itu.

Hakim Kamaludin bersama Hakim Datuk Wira Ahmad Nasfy Yasin dan Datuk See Mee Chun, dalam keputusan sebulat suara berkata bersetuju dengan peguam perayu bahawa Mahkamah Majistret tidak konsisten dalam membuat pertimbangan ketika menjatuhkan hukuman terhadap Farid Kamil.

Hakim itu berkata, tiada satu penjelasan konkrit yang boleh menyatakan bahawa hukuman tersebut setimpal dengan kesalahan dilakukan pada masa itu dan tiada aspek pemberatan hukuman contohnya tiada kesalahan lampau atau sebagainya.

"Ini kerana kes-kes mahkamah menunjukkan sama ada untuk menjatuhkan hukuman penjara dan denda, mahkamah bergantung kepada fakta kes itu. Dalam kes ini, kami dapati faktanya adalah jelas dan tidak menjurus kepada kesalahan terlalu serius atau berat," katanya.

Pada 15 Mei 2019, Mahkamah Majistret Petaling Jaya menjatuhkan hukuman itu selepas mendapati Farid Kamil bersalah kerana menggunakan dadah dikenali sebagai THC, iaitu ‘11-nor-delta-9-tetrahydrocannabinol-9-carboxylic acid’.

Pada November 2019, pelakon tersebut memfailkan rayuan selepas Mahkamah Tinggi Shah Alam mengekalkan hukuman berkenaan.

Turut hadir di mahkamah isterinya, pelakon Diana Danielle dan adiknya, Fadzil.

Farid Kamil ketika ditemui pemberita selepas membayar denda menzahirkan rasa syukur dengan keputusan pada Rabu yang disifatkan terbaik untuk dirinya.

"Saya gembira kerana kes ini telah selesai di peringkat rayuan dan kini saya boleh fokus terhadap penggambaran filem seterusnya berjudul Anwar, yang kini berada di peringkat akhir serta bakal ditayangkan pada Februari 2023," katanya yang turut berterima kasih kepada barisan peguam mewakilinya.

Farid Kamil diwakili peguam Datuk Hisyam Teh Poh Teik, Kee Wei Lon dan Low Wei Loke manakala pendakwaan diwakili Timbalan Pendakwa Raya Eyu Ghim Siang. — The Star

Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram dan Telegram