Didakwa bunuh anak tiri, penganggur berdepan hukuman gantung sampai mati


Tertuduh didakwa di Mahkamah Majistret Kajang atas pertuduhan membunuh anak tirinya, minggu lepas. — Bernama

SEORANG lelaki didakwa di Mahkamah Majistret Kajang, Selangor pada Rabu atas pertuduhan membunuh anak tirinya berusia 11 tahun, minggu lepas.

Tiada pengakuan direkodkan daripada C. Stephen Raj, 43, selepas pertuduhan terhadapnya dibacakan di hadapan Majistret Nik Siti Norazlini Nik Mohamed Faiz kerana kes bunuh di bawah bidang kuasa Mahkamah Tinggi.

Tertuduh yang tidak bekerja didakwa menyebabkan kematian kanak-kanak perempuan itu di sebuah rumah di Taman Sri Ramal, Kajang pada 11.33 malam, 21 November lepas.

Pertuduhan dikemukakan mengikut Seksyen 302 Kanun Keseksaan yang memperuntukkan hukuman gantung sampai mati, jika sabit kesalahan.

Mahkamah menetapkan 10 Jan tahun depan untuk sebutan kes.

Pendakwaan dikendalikan Timbalan Pendakwa Raya Norfarhanim Abdul Halim manakala tertuduh diwakili peguam M. Manoharan.

Sebelum ini, media melaporkan polis menerima laporan daripada seorang pegawai perubatan Hospital Serdang pada 12.39 tengah malam, 22 November lepas berhubung seorang kanak-kanak perempuan yang dibawa ke hospital itu dalam keadaan tidak sedarkan diri.

Mangsa disahkan meninggal dunia semasa dalam perjalanan ke hospital dan bedah siasat mendapati punca kematian kanak-kanak itu akibat kesan hentakan objek tumpul pada bahagian kepala dan abdomen yang menyebabkan ususnya pecah.

Selain itu, terdapat kesan cedera hingga lebam di bahagian punggung, dada dan lengan mangsa. — Bernama

Mahkamah, Bunuh, Anak Tiri, Kanak-kanak, Lelaki