Rakyat dah tiada kuasa, perjalanan Ahmad Zahid ditentukan Umno


  • Politik
  • Isnin, 28 Nov 2022

Hanya Umno yang akan menentukan hala tuju politik Ahmad Zahid.

WALAUPUN kalah dalam Pilihan Raya Umum ke 15 (PRU15), Datuk Seri Ahmad Zahid Hamidi belum lagi memberi sebarang kenyataan rasmi sama ada mahu meletakkan jawatannya sebagai pengerusi atau tidak.

Malah, Setiausaha Agung Umno, Datuk Seri Ahmad Maslan juga sebelum ini berkata, Majlis Kerja Tertinggi (MKT) Umno menyokong supaya Ahmad Zahid kekal sebagai pengerusi Barisan Nasional (BN).

Perkara ini berbeza dengan desakan daripada beberapa pihak yang ingin Ahmad Zahid bertanggungjawab atas kekalahan BN dan PRU15 dengan meletakkan jawatan dalam parti.

AEA5E0BC-FA92-495B-A1FB-623562E64505 (1)

Ahmad Zahid masih kekal sebagai Pengerusi BN.

Jika Ahmad Zahid mengekalkan kedudukannya dalam parti, berkemungkinan juga pemimpin ini akan bergelar Timbalan Perdana Menteri (TPM) di bawah kepimpinan Datuk Seri Anwar Ibrahim.

Penganalisis Keselamatan dan Politik, Dr Noor Nirwandy Mat Noordin berkata, rakyat perlu faham kedudukan Ahmad Zahid adalah hak mutlak yang ditentukan partinya.

"Masyarakat memang bebas bersuara mengenai kedudukan Ahmad Zahid, tetapi parti yang akan tentukan kedudukannya. Rakyat hanya berkuasa ketika PRU sahaja, sekarang kuasa di tangan parti.

WhatsApp Image 2022-11-28 at 4.55.50 PM

Dr Noor Nirwandy memaklumkan kedudukan Ahmad Zahid ditentukan partinya.

"Cuma apa yang parti boleh lakukan ialah dengan mengambil kira respons masyarakat sama ada keputusan itu akan mendatangkan sokongan pada parti atau sebaliknya.

"Rakyat cuma boleh membuat keputusan pada PRU akan datang. Itu sahaja waktunya rakyat memiliki kuasa untuk membuat pilihan," katanya kepada Majoriti.

Sementara itu, ditanya mengenai kedudukan Ahmad Zahid yang dikatakan bakal memegang jawatan TPM, Dr Noor Nirwandy berkata, Anwar perlu melihat kepentingan masyarakat dan negara.

1714573

Anwar belum tentukan siapa bakal menjadi menteri di bawah pimpinannya.

"Anwar bebas untuk melantik sesiapa sahaja menjadi Menteri Kabinet, tetapi kita harap beliau selaku Perdana Menteri dapat buat pilihan yang terbaik.

"Lagipun, calon menteri juga perlu diputuskan oleh parti dan kita sebagai rakyat tidak boleh mencampuri urusan parti," katanya.

Terdahulu, walaupun terdapat gesaan daripada akar umbi Umno sendiri yang mahukan Ahmad Zahid berundur, MKT parti itu bagaimanapun terus memberi sokongan kepada Ahli Parlimen Bagan Datuk itu untuk kekal mengemudi parti. — Majoriti

Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram dan Telegram