SEORANG kanak-kanak perempuan dipercayai cedera selepas diserang seekor anjing ketika berjalan di sebuah kawasan perumahan di Taman Scientex, Kulai, Johor baru-baru ini.
Ketika kejadian, mangsa dikatakan sedang menuju ke salah sebuah rumah jiran di depan kediamannya sebelum tiba-tiba dikejar seekor anjing.
Insiden itu berjaya dirakam kamera papan pemuka (dashcam) kereta dipercayai salah sorang penghuni taman berkenaan.
Melalui rakaman video berdurasi seminit yang dimuat naik semula di halaman Facebook We Are Malaysians memaparkan kanak-kanak perempuan itu cuba berlari semula menuju ke rumahnya namun jatuh tersembam di jalan.
Turut kedengaran pemandu tersebut membunyikan hon kereta untuk menakut-nakutkan anjing tersebut sebelum haiwan itu dilihat beredar dari tempat berkenaan.
Difahamkan, anjing itu bukan haiwan liar tetapi mempunyai tuan berdasarkan komen-komen di video berkenaan.
Menjengah ke ruangan komen, video tersebut mengundang pelbagai reaksi warga maya.
Seorang warganet لابو امس, berharap agar pemilik anjing berkenaan dikenakan tindakan kerana menyalahi undang-undang.
"Di kawasan perumahan tidak boleh lepaskan anjing sesuka hati. Bahaya pada keselamatan orang awam. Pemilik anjing itu boleh dikenakan tindakan," katanya.
Menurut Titan, kanak-kanak perempuan tersebut cedera akibat terjatuh.
"Aku dengar budak itu cedera sebab jatuh kena tolak dengan anjing, harap semua okey. Anjing ada owner," katanya.
Namun begitu, bagi Senaya Sebayan Lelang menyuarakan pendapat yang berbeza kerana haiwan tersebut tidak bertindak agresif.
"Maaf saya rasa anjing itu hanya ingin bermain. Kalau haiwan itu nak menyerang atau gigit lain gayanya," tulisnya.
Video yang mula tular sejak Sabtu itu sudah mendapat lebih daripada 27,000 tontonan setakat ini.
Namun tidak dapat dipastikan keadaan sebenar kanak-kanak tersebut dan belum ada sebarang kenyataan daripada pihak berkuasa. — Majoriti
Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram dan Telegram