'Shhh...', pemain JDT julang Piala Malaysia tiru gaya RMS rai gol Selangor


  • Podium
  • Ahad, 27 Nov 2022

RMS meraikan gol Selangor FC ketika pasukan itu mendahului 1-0 pada aksi final Piala Malaysia 2022. — Facebook

MUSIM ini menjadi penamat indah buat Johor Darul Takzim (JDT) apabila merangkul kejuaraan Piala Malaysia apabila mengatasi Selangor FC 2-1 di Stadium Nasional Bukit Jalil, pada Sabtu.

Kejayaan itu sekali gus menyaksikan pasukan Harimau Selatan menyapu bersih kesemua gelaran yang dipertandingkan di Liga Malaysia bagi musim ini termasuk Liga Super dan Piala FA selain Piala Sumbangsih.

Skuad JDT mencuri perhatian selepas meraikan kejuaraan treble buat kali pertama itu dengan gaya meletakkan jari telunjuk di bibir yang memberi isyarat 'senyap'.

Menerusi satu hantaran di Facebook rasmi Johor Southern Tigers, kelihatan pemilik JDT, Tunku Ismail Sultan Ibrahim (TMJ) dan pemain-pemain JDT lain memberi isyarat tersebut dalam video ringkas berdurasi enam saat.

Turut kelihatan dalam video itu ialah barisan kejurulatihan Harimau Selatan yang diketuai oleh Hector Bidoglio.

"Shhh... #TotalDomination, #Unbeaten2022, #Unprecedented," tulis kapsyen pada video berkenaan yang dimuat naik pada Ahad, malam.

WhatsApp Image 2022-11-27 at 12.11.33

TMJ memberi isyarat senyap usai aksi final Piala Malaysia JDT menentang Selangor yang menyaksikan Harimau Selatan muncul juara. — Facebook

Isyarat senyap itu mungkin meniru cara Raja Muda Selangor (RMS), Tengku Amir Shah Sultan Sharafuddin Idris Shah Alhaj meraikan gol pasukan apabila skuad Gergasi Merah terlebih dahulu mendahului perlawanan menerusi jaringan penalti Herlison Caion pada minit ke-45.

Kegembiraan pasukan Selangor bagaimanapun hanya bertahan kira-kira dua minit apabila peledak prolifik JDT, Bergson Da Silva meledak gol penyamaan pada masa kecederaan babak pertama dengan menanduk masuk bola sepakan sudut Arif Aiman Hanapi.

Pada minit ke-59 pula, penyerang import berbisa, Fernando Forestieri meledak gol kedua Harimau Selatan menerusi satu rembatan deras di dalam kotak penalti.

Isyarat itu memberi mesej antara lain membuktikan JDT berstatus pasukan paling kebal apabila tidak kalah dalam semua pertandingan domestik sepanjang musim ini di sebalik beberapa kontroversi yang menyelubungi kelab elit itu.

Antara yang hangat diperkatakan tentunya pertukaran ketua jurulatih yang dibuat pada pertengahan musim melibatkan Benjamin Mora dan Bidoglio.

WhatsApp Image 2022-11-27 at 11.53.40

Forestieri membuat isyarat senyap selepas JDT muncul pasukan sulung memenangi empat trofi dalam satu musim. — Instagram

Belum lagi drama sindiran antara TMJ dengan Presiden Persatuan Bolasepak Kedah (KFA), Datuk Seri Muhammad Sanusi yang 'mewarnai' Liga Malaysia musim ini.

Bahkan TMJ juga pernah membuat isyarat serupa kepada Sanusi supaya tidak membuka mulut membuat apa-apa kenyataan selepas pasukan Sang Kenari kecundang di tangan JDT dalam perlawanan Liga Super 2022 di pada 4 Oktober lalu.

Selain menjulang trofi kejuaraan Liga Super buat sembilan tahun berturut-turut, JDT muncul pasukan sulung memenangi empat trofi dalam satu musim.

Ia juga adalah kejuaraan Piala Malaysia kali ketiga yang dimenangi JDT selepas turut menjulang trofi berprestij itu pada 2017 dan 2019. — Majoriti

Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram dan Telegram