Selain KJ, 2 nama disebut-sebut calon Presiden Umno ganti Zahid Hamidi


  • Politik
  • Ahad, 27 Nov 2022

Khairy bergambar bersama ahli Umno ketika Perhimpunan Agung Umno 2017.

KEKALAHAN besar Barisan Nasional (BN) dalam Pilihan Raya Umum ke-15 (PRU15) lalu menyebabkan ramai ahli pakatan tersebut menuding jari ke arah Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi.

Ahmad Zahid selaku Pengerusi BN dianggap gagal mengemudi pakatan itu, selain didakwa menjadi punca kekalahan terburuk BN pada PRU15.

Lantaran itu, ramai dalam kalangan pemimpin Umno (parti komponen BN), yang tidak lagi 'sekepala' dengan Ahmad Zahid, seterusnya menggesa beliau untuk meletak jawatan sebagai Presiden Umno.

file7nqn3uhh0gxs870a4lg

Ramai pihak menggesa Ahmad Zahid meletak jawatan sebagai Presiden Umno.

Namun, Ahmad Zahid sebelum ini menegaskan bahawa, pemilihan parti bakal berlangsung kurang daripada enam bulan lagi.

Tambahnya, individu dalam parti itu boleh bertanding bagi mana-mana jawatan.

Kenyataan itu sekali gus membuktikan bahawa, ahli Umno yang lain juga boleh menggantikan jawatan Ahmad Zahid sebagai presiden parti.

Berikut antara nama yang disebut-sebut mampu menggantikan Ahmad Zahid:

1) Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob

file7nnoqi0p9z91fvc0ufpr

Ismail (tengah) ketika menggalas tanggungjawab sebagai Perdana Menteri.

Pengalaman bekas Perdana Menteri kesembilan dalam arena politik sememangnya tidak boleh disangkal lagi.

Dengan pengalaman sukar mentadbir negara dalam tempoh lebih daripada setahun, sudah tentu Ahli Parlimen Bera ini mampu menerajui Umno dengan lebih mudah.

Ketika ini, Ismail merupakan salah seorang daripada tiga Naib Presiden Umno.

Apatah lagi, bekas Ketua Pemuda Umno, Khairy Jamaluddin sebelum ini memberi sokongan penuh kepada Ismail Sabri untuk menggantikan tempat Ahmad Zahid.

2) Khairy Jamaluddin

file7noovrgmwkhlem4z6k1

Khairy bergambar bersama dengan penyokongnya pada hari pengundian PRU15.

Pada PRU15, Khairy atau lebih dikenali sebagai KJ tewas selepas dipertaruhkan di kerusi Parlimen Sungai Buloh.

Bekas Menteri Kesihatan itu sebelum ini pernah bertanding merebut jawatan Presiden Umno bagi penggal 2018 hingga 2021, namun tewas selepas berada pada kedudukan kedua, di belakang Ahmad Zahid.

Ahmad Zahid meraih 99 undi, Khairy menerima 61 undi, manakala veteran parti, Tengku Razaleigh Hamzah (Ku Li) berada pada kedudukan ketiga dengan 30 undi.

Kecemerlangan KJ ketika menjadi menteri diakui sendiri oleh Pengerusi Perikatan Nasional (PN), Tan Sri Muhyiddin Yassin.

Bukan itu sahaja, Muhyiddin menyifatkan KJ layak memegang jawatan sebagai Perdana Menteri pada masa hadapan.

Dengan sokongan daripada pihak lawan, ternyata KJ mempunyai reputasi baik untuk memimpin Umno ke arah yang lebih baik, apatah lagi dengan pengalamannya yang luas dan masih muda.

Kelantangannya bersuara memikat ramai pihak termasuk kalangan penyokong parti lawan yang menghormatinya sebagai seorang yang berprinsip dan tegas.

3) Datuk Seri Hishammuddin Tun Hussein

file64lvk9ibgb9113m04bep

Hishamuddin mampu meneruskan legasi keluarganya bagi menerajui Umno.

Bendahari Agung BN ini merupakan anak kepada Perdana Menteri ketiga, Tun Hussein Onn dan cucu kepada Onn Jaafar, pengasas Umno dan pejuang kemerdekaan Malaysia.

Pemilihannya sebagai Presiden Umno dikatakan agak tepat, apabila beliau mampu meneruskan legasi keluarganya bagi menerajui parti itu.

Selain itu, Ahli Parlimen Sembrong itu juga mempunyai pengalaman lama dan lebih mahir dalam selok-belok politik tanah air.

Antara jawatan beliau dalam kerajaan sebelum ini adalah sebagai Menteri Kanan Keselamatan (Julai 2021), Menteri Luar Negeri (Mac 2020), Menteri Pertahanan Malaysia (2013 hingga 2018) serta Menteri Pelajaran (2004 hingga 2009).

Beliau juga pernah dilantik sebagai Ketua Pemuda Umno Johor, Ketua Pemuda Umno Bahagian Ledang, Ketua Pemuda Umno Bahagian Tenggara dan Ketua Umno Bahagian Tenggara.

Kesetiaan beliau dalam Umno dalam tempoh lama sudah cukup melayakkan beliau untuk menggalas tanggungjawab sebagai presiden parti.

file70smp7wxilt1gqqidit

Tangkap layar Debat Presiden Umno 2018 yang disiarkan di saluran Astro Awani. Dari kiri: KJ, Ahmad Zahid dan Ku Li.

Pada Julai, Jabatan Pendaftaran Pertubuhan Malaysia (JPPM) meluluskan permohonan Umno meminda Perlembagaannya dan menangguhkan pemilihan parti hingga enam bulan, selepas pilihan raya umum, atau hingga 18 bulan dari tempoh tamat penggal kepimpinan.

Pemilihan parti itu sepatutnya diadakan pada 2020, bagaimanapun ditangguh susulan Perintah Kawalan Pergerakan (PKP). — Majoriti

Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram dan Telegram