MKT Umno sokong kerajaan perpaduan tapi bukan diterajui PN


  • Politik
  • Khamis, 24 Nov 2022

Ahmad Maslan berkata, ketetapan itu dibuat dalam mesyuarat MKT parti itu yang dipengerusikan Ahmad Zahid Hamidi pada Rabu.

MAJLIS Kerja Tertinggi (MKT) Umno sebulat suara memutuskan untuk menyokong kerajaan perpaduan yang bukan diterajui Perikatan Nasional (PN) bagi memastikan sebuah kerajaan yang stabil dan makmur dibentuk.

Keputusan itu juga menunjukkan Umno bersetuju dengan titah Yang di-Pertuan Agong (YDPA), Al-Sultan Abdullah Ri’ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah supaya Barisan Nasional (BN) menyokong dan mengambil bahagian dalam kerajaan Perpaduan.

Setiausaha Agungnya, Datuk Seri Ahmad Maslan berkata, ketetapan itu dibuat dalam mesyuarat MKT parti itu yang dipengerusikan Presiden Datuk Seri Ahmad Zahid Hamidi pada Rabu.

“MKT secara sebulat suara memutuskan untuk menyokong dan menjunjung titah Ke Bawah Duli Yang Maha Mulia Seri Paduka Baginda Yang di-Pertuan Agong supaya Barisan Nasional menyokong dan mengambil bahagian dalam Kerajaan Perpaduan yang bukan diterajui oleh Perikatan Nasional bagi memastikan sebuah Kerajaan yang stabil dan makmur dapat dibentuk.

“MKT juga bersetuju semua wakil-wakil parti yang memenangi kerusi Parlimen pada Pilihan Raya Umum Ke-15 (PRU15), mematuhi dan menerima sebarang bentuk Kerajaan Perpaduan atau lain-lain bentuk Kerajaan yang bakal dimasyhurkan oleh Seri Paduka Baginda Yang di-Pertuan Agong,” katanya dalam kenyataan di Kuala Lumpur, pada Rabu.

Dalam kenyataan yang sama, Ahmad Maslan berkata, MKT juga akan terus memperkukuhkan sokongan terhadap Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi, sebagai presiden Umno, sekali gus menerajui sebagai Pengerusi BN.

Beliau turut memaklumkan bahawa Perhimpuan Agung Umno untuk tahun ini ialah pada 21 hingga 24 Disember 2022.

Sementara itu, jika dilihat kepada laporan media sebelum ini mengenai 10 perkara dalam persetujuan antara Pakatan Harapan (PH) dan BN membentuk kerajaan perpaduan, Umno juga jelas menyokong Datuk Seri Anwar Ibrahim dari PH sebagai Perdana Menteri ke-10. — Majoriti

Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram dan Telegram