Ahli Parlimen GPS turut dipanggil menghadap Istana Negara


  • Politik
  • Rabu, 23 Nov 2022

Dua pemimpin tertinggi BN, (dari kiri) Ahmad Zahid dan Tok Mat dilihat turut meninggalkan perkarangan Istana Negara pada tengah hari Rabu.

AHLI-AHLI Parlimen Gabungan Parti Sarawak (GPS) turut diminta menghadap Yang di-Pertuan Agong, Al-Sultan Abdullah Sultan Ahmad Shah di Istana Negara pada Rabu.

Lima wakil GPS antaranya Datuk Seri Fadhillah Yusuf, Datuk Seri Alexander Nanta Linggi, Datuk Seri Richard Riot Jaem dan Datuk Aaron Ago Dagang tiba kira-kira pukul 11.05 pagi.

Presiden Parti Rakyat Sarawak (PRS), Datuk Joseph Salang mengesahkan Ahli Parlimen GPS dipanggil untuk menghadap Yang di-Pertuan Agong.

"Mereka dalam perjalanan ke Istana sekarang," katanya ketika dihubungi pada Rabu.

Beliau berkata, Ahli Parlimen Kanowit, Datuk Aaron Ago Dagang berada dalam delegasi yang mewakili PRS.

PRS ialah satu daripada empat parti komponen dalam GPS. Yang lain ialah Parti Pesaka Bumiputera Bersatu (PBB), Parti Rakyat Bersatu Sarawak (SUPP) dan Parti Demokratik Rakyat (PDP).

Ketibaan mereka susulan Ahli Parlimen Barisan Nasional (BN) turut diminta menghadap Seri Paduka pada pukul 10.30 pagi Rabu bagi mencapai keputusan siapa Perdana Menteri ke-10.

Dalam pada itu, dua pemimpin tertinggi Barisan Nasional, Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi dan Datuk Seri Mohamad Hasan dilihat turut meninggalkan perkarangan Istana Negara pada tengah hari Rabu. — The Star

Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram dan Telegram