Sah PH-BN tubuh kerajaan di Pahang, Wan Rosdy dilantik Menteri Besar


  • Primer
  • Ahad, 27 Nov 2022

Pengerusi BN Pahang, Datuk Seri Wan Rosdy Wan Ismail.

PEMANGKU Raja Pahang, Tengku Mahkota Tengku Hassanal Ibrahim Alam Shah berkenan dengan pembentukan kerajaan negeri yang terdiri daripada gabungan Pakatan Harapan (PH) dan Barisan Nasional (BN).

Pengumuman itu turut menyaksikan Pengerusi BN Pahang, Datuk Seri Wan Rosdy Wan Ismail akan dilantik sebagai Menteri Besar.

Pengelola Bijaya Diraja Sultan Pahang, Datuk Ahmad Khirrizal Ab Rahman berkata demikian pada Ahad selain mengumumkan Majlis Pengurniaan Surat Cara Pelantikan dan Mengangkat Sumpah Jawatan Menteri Besar Pahang akan diadakan di Istana Abu Bakar, Pahang pada Isnin.

Pada Pilihan Raya Umum ke-15 (PRU15), keputusan menyaksikan Perikatan Nasional memenangi 17 daripada 41 kerusi Dewan Undangan Negeri (DUN) Pahang manakala BN dan PH masing-masing memperolehi 16 dan lapan kerusi.

Ia menyebabkan tiada parti meraih majoriti mudah untuk membentuk kerajaan negeri, sekali gus mendorong gabungan BN dan PH.

Pahang mempunyai 42 kerusi DUN dan parti perlu mempunyai 22 kerusi untuk mendapat majoriti mudah bagi membentuk kerajaan negeri.

Pengundian DUN Tioman sebelum ini ditangguhkan kepada 7 Disember kerana kematian calon PN, Md Yunus Ramli, pagi hari pengundian 19 November lalu, dipercayai akibat serangan jantung. — Majoriti

Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram dan Telegram