Warga emas maut ditikam di Kajang angkara cemburu


  • 112
  • Sabtu, 26 Nov 2022

Seorang warga emas lelaki dilaporkan maut ditikam selepas ditangkap menjalankan hubungan intim bersama isteri orang.

SEORANG warga emas lelaki berusia 71 tahun dilaporkan mati ditikam berhampiran luar sebuah pasar raya di Kajang pada Jumaat.

Ketua Polis Daerah Kajang, Asisten Komisioner Mohd Zaid Hassan berkata, polis dimaklumkan mengenai kejadian pada Jumaat dan dua tangkapan sehari kemudian.

“Laporan dibuat pegawai perubatan selepas mangsa dibawa ke Hospital Serdang oleh rakan wanita pada pukul 6.30 petang. Mangsa cedera di bahagian bahu dan paha akibat tikaman tersebut.

“Dia sempat memberitahu pengadu bahawa dia diserang di sebuah pasar raya di Bandar Tun Hussein Onn.

“Mangsa disahkan meninggal dunia oleh pihak hospital pada pukul 11.05 malam,” katanya.

Polis telah menahan seorang wanita berusia 45 tahun dan suaminya, 51 tahun untuk membantu siasatan.

“Suspek lelaki mengaku telah mencederakan mangsa di tempat letak kereta pasar raya berkenaan dan punca pergaduhan difahamkan kerana cemburu terhadap hubungan intim isteri dan mangsa, selepas ditangkap berdua-duaan dalam kereta ketika kejadian.

“Susulan tangkapan itu, beberapa barangan turut dirampas termasuk sebuah kereta, empat telefon bimbit, pakaian suspek yang mempunyai kesan darah dan resit pembelian sebilah pisau,” katanya.

Kedua-duanya direman selama tujuh hari sehingga 2 Disember untuk siasatan lanjut. — The Star

Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram dan Telegram