Muhyiddin mahu Anwar kemuka bukti sokongan majoriti Ahli Parlimen


  • Politik
  • Khamis, 24 Nov 2022

Muhyiddin mahu Anwar buktikan miliki sokongan cukup majoriti untuk dilantik jadi Perdana Menteri.

PENGERUSI Perikatan Nasional (PN) Tan Sri Muhyiddin Yassin mahu Pengerusi Pakatan Harapan, Datuk Seri Anwar Ibrahim membuktikan keabasahnnya memiliki sokongan majoriti ahli Dewan Rakyat untuk memegang jawatan Perdana Menteri.

Muhyiddin berkata, beliau sebelum ini telah menghantar surat akuan (SD) 115 Ahli Parlimen yang menyokongnya menjadi Perdana Menteri.

"Saya rujuk pada 21 November sebelum pukul 2 petang, kita masuk ke Istana Negara dan serahkan 115 SD yang menyokong saya sebagai Perdana Menteri.

"Apa sahaja sokongan mesti ada SD. Tak mahu surat yang turun dari langit," katanya dalam sidang akhbar PN yang disiarkan secara langsung di Facebook.

Menurut Muhyiddin, 115 sokongan yang diterimanya itu adalah dari 73 ahli Dewan Rakyat PN, Gabungan Parti Sarawak (22), Gabungan Rakyat Sabah (6), Pari Kesejahteraan Demokratik Masyarakat (1), 10 Barisan Nasional (BN) dan dua bebas.

Jelasnya, jika Anwar memaklumkan mempunyai majoriti yang cukup, dia harus buktikan.

"Kami nak tahu apa buktinya. Perkara ini untuk elakkan rakyat ragu, resah dan tidak puas hati.

"Rakyat dah beberapa hari tergantung tanpa Perdana Menteri dan kami mahu tahu kenyataan Anwar itu berpandukan kepada Perlembagaan atau sebaliknya," katanya.

Terdahulu, Yang di-Pertuan Agong, Al-Sultan Abdullah Ri’ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah pada Khamis perkenan melantik Ahli Parlimen Tambun, Anwar sebagai Perdana Menteri Malaysia ke-10.

Datuk Pengelola Bijaya Diraja Istana Negara Datuk Seri Ahmad Fadil Shamsuddin dalam kenyataannya berkata, pelantikan Pengerusi PH itu selaras dengan Perkara 40(2)(a) dan Perkara 43(2)(a) Perlembagaan Persekutuan. — Majoriti

Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram dan Telegram