Elak bawa, kibar bendera politik pada aksi final Piala Malaysia


  • Podium
  • Jumaat, 25 Nov 2022

Antara insiden penyokong membawa bendera berkaitan politik masuk ke stadium ketika perlawanan bola berlangsung. — Gambar hiasan

PENYOKONG dilarang membawa masuk dan mengibar bendera berunsurkan politik pada perlawanan akhir Piala Malaysia 2022 antara Johor Darul Takzim (JDT) dan Selangor FC di Stadium Nasional Bukit Jalil pada Sabtu.

Timbalan Pengerusi Jawatankuasa Keselamatan Persatuan Bolasepak Malaysia (FAM), Asisten Komisioner (B) Md Dali Wahid berkata, tindakan tegas akan diambil kepada mana-mana penyokong yang didapati berbuat demikian selain menegaskan aksi final di stadium bukanlah tempat untuk meraikan atau menunjuk rasa tidak puas hati mengenai perkara berkaitan politik.

"Mungkin kita masih terawang-awang dan teringatkan apa yang berlaku dalam negara ketika ini. Bendera-bendera melibatkan politik mungkin boleh buat orang di luar rasa tidak puas hati dan sebagainya.

"Jadi, jangan bawa masuk ke dalam stadium (apa-apa barangan) yang boleh cetuskan provokasi dan menggugat keamanan negara,” katanya pada sidang media keselamatan bagi perlawanan akhir Piala Malaysia 2022 pada Jumaat.

Sementara itu, Ketua Polis Daerah Cheras, Asisten Komisioner Zam Halim Jamaluddin menjangkakan 80,000 penyokong membanjiri Stadium Nasional Bukit Jalil sebaik pintu masuk dibuka 5 petang dan untuk itu, persiapan rapi telah dilakukan polis bagi menjamin keselamatan dan ketenteraman awam.

"Sebagai langkah keselamatan, pemeriksaan tubuh badan, beg serta barangan akan dilakukan di setiap pintu masuk dan juga selepas memasuki pekarangan stadium,” katanya.

316315188_8290222521050180_8329724514873808797_n

Md Dali (kanan) berkata, bendera-bendera melibatkan politik mungkin boleh membuatkan penyokong berasa tidak puas hati. — Facebook MFL

Selain itu, beliau berkata, terdapat beberapa penutupan jalan di sekitar Stadium Nasional sebelum dan selepas perlawanan, antaranya sepanjang Jalan Barat bermula dari persimpangan Taman Teknologi Malaysia (TPM) hingga Persimpangan Merah Caga.

"Penyokong dinasihatkan menggunakan pengangkutan awam dan bagi yang memandu kenderaan sendiri, dinasihatkan supaya mengamalkan sikap bersabar, berhemah dan bertolak-ansur sepanjang pemanduan,” katanya.

Selangor adalah pasukan paling berjaya dalam saingan Piala Malaysia dengan merekodkan 33 kali kejuaraan sementara JDT pula muncul juara sebanyak dua kali pada 2017 dan 2019 sejak penubuhan kelab itu pada 2013.

Pada edisi lepas, JDT kempunan merangkul kejuaraan itu selepas tewas 0-2 kepada Kuala Lumpur (KL) City FC di pentas final. — Bernama

Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram dan Telegram