Suami isteri cemas, kena cakar harimau kejar kucing masuk rumah di Kuala Lipis


  • 112
  • Jumaat, 25 Nov 2022

Harimau itu menyorok di bawah rumah mangsa sebelum ditangkap dan diserahkan kepada Perhilitan. — Balai Bomba Kuala Lipis

DETIK cemas menyelubungi sepasang suami isteri selepas seekor harimau akar memasuki rumah mereka di Kampung Sentang Pagar Sasak, Kuala Lipis, Pahang pada Khamis.

Ketua Polis Daerah Lipis, Superintendent Azli Mohd Noor berkata, pihaknya menerima maklumat mengenai kejadian itu kira-kira pukul 6.30 petang dan mendapati ketika insiden berkenaan, rumah itu dihuni seorang lelaki berusia 55 tahun dan isterinya 58 tahun yang menghidap angin ahmar.

Beliau berkata, menerusi maklumat yang diterima, harimau berkenaan dikatakan masuk ke rumah itu melalui pintu hadapan ketika mengejar seekor kucing.

"Terkejut dengan kehadiran harimau itu, suami wanita itu telah menghalau haiwan berkenaan namun harimau itu telah melompat ke atas katil dan tercakar kening wanita berkenaan," katanya dalam kenyataan pada Jumaat.

Menurutnya, wanita yang mengalami luka kecil itu telah diberi rawatan oleh petugas kesihatan Klinik Padang Tengku, Kuala Lipis, Pahang.

Beliau berkata, harimau yang kemudian berada di bawah rumah mangsa telah dikepung oleh penduduk kampung sementara menunggu Jabatan Perlindungan Hidupan Liar dan Taman Negara (Perhilitan) untuk tindakan lanjut.

Pada pukul 8 malam (Khamis), Perhilitan Lipis tiba di lokasi kejadian dan haiwan berkenaan berjaya ditangkap beberapa jam kemudian setelah ditembak dengan ubat pelali, katanya.— Majoriti

Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram dan Telegram