Kodokushi: Budaya mati bersendirian yang membimbangkan


  • Sihat
  • Sabtu, 05 Nov 2022

Budaya Kodokushi dikatakan menyusup masuk ke negara ini ketika wabak Covid-19 berlaku.

PERKATAAN Kodokushi mungkin sedikit asing bagi masyarakat di negara ini, namun berbeza di Jepun yang sudah menjadi satu trend yang membimbangkan.

Kodokushi merupakan istilah untuk mati bersendirian yang digunakan di negara matahari terbit berkenaan.

Pakar mengatakan, kombinasi faktor kebudayaan, sosial dan demografi di Jepun telah menyebabkan trend berkenaan muncul dan semakin popular.

Sehingga kini, tiada angka rasmi yang didedahkan kerajaan Jepun berhubung kejadian tersebut namun pakar menganggarkan kes Kodokushi mampu mencapai sebanyak 30,000 setahun.

WhatsApp Image 2022-11-04 at 5.04.26 PM

Dr. Hanafiah Bashirun

Pakar Kesihatan Pekerjaan, Kecemasan dan Kesihatan Awam, Dr. Hanafiah Bashirun berkata, budaya itu merupakan salah satu tanda awal kemurungan.

"Salah satu tanda kemurungan ialah individu memilih untuk menyendiri kerana tidak tahu untuk meluahkan perasaan dan bercampur dengan orang.

“Kes seumpama ini mula menular dalam kalangan orang muda dan akan berakhir dengan kematian jika tidak dikesan lebih awal," katanya kepada Majoriti.

Tambah Hanafiah, salah satu tanda kemurungan ialah individu memilih untuk menyendiri kerana tidak tahu untuk meluahkan perasaan dan bercampur dengan orang.

“Kes seumpama ini mula menular dalam kalangan orang muda dan akan berakhir dengan kematian jika tidak dikesan lebih awal.

“Ditambah pula dengan tekanan hidup, faktor kewangan dan kehilangan kerja menjadi punca mereka memilih untuk hidup bersendirian,” katanya.

Hanafiah memberitahu, kes seumpama ini pernah berlaku ketika negara dilanda wabak Covid-19 kerana ramai yang dikatakan terlalu tertekan dengan masalah kehidupan dan kewangan.

"Pertubuhan Kesihatan Sedunia (WHO) melaporkan lebih daripada 703,000 kematian akibat bunuh diri dicatatkan setiap tahun di seluruh dunia atau purata satu kematian bagi setiap 40 saat.

"Kes bunuh diri di negara ini meningkat 81 peratus dengan 1,142 kes dilaporkan tahun lalu berbanding 631 kes pada 2020," jelasnya.

1768895

Kes seumpama itu pernah berlaku ketika awal wabak pandemik Covid-19 gara-gara kemurungan.

Menurut Hanafiah, jumlah itu adalah berdasarkan rekod Polis Diraja Malaysia (PDRM) yang turut melaporkan 467 kes bunuh diri dalam tempoh enam bulan pertama tahun ini.

"Bunuh diri adalah satu daripada 10 penyebab utama kematian di dunia dan penyebab keempat kematian bagi mereka yang berusia 15 tahun hingga 29 tahun.

"Bagi setiap nyawa yang terkorban, dianggarkan 135 ahli keluarga atau rakan akan terkesan serta mengalami impak secara emosi, sosial dan ekonomi," katanya.

Hanafiah berkata, individu yang mempunyai masalah harus mendapatkan rawatan dan bantuan bagi mengurangkan beban yang terpaksa ditanggung.

"Pelbagai langkah boleh diambil untuk mengatasi masalah itu seperti menyalurkan bantuan dari segi makanan, wang serta sokongan mental dan fizikal.

“Semua pihak perlu memainkan peranan penting dalam menjaga tanggungjawab sosial dan sentiasa peka dengan keadaan individu di sekeliling," jelasnya.— Majoriti

Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram dan Telegram