[VIDEO] BF 'saiko' sempat buat 'live' lepas bunuh kekasih sampai bermandi darah atas katil


  • Benua
  • Sabtu, 19 Nov 2022

Abhijeet turut mengaku membunuh Shilpa kerana percaya mangsa mempunyai hubungan sulit dengan lelaki lain. — Agensi

PENDUDUK di Madhya Pradesh, India dikejutkan dengan tragedi pembunuhan ngeri selepas seorang lelaki mengelar leher kekasihnya di bilik resort sebuah pusat peranginan di Jabalpur baru-baru ini.

Lebih kejam, suspek, Abhijeet Patidar sempat membuat video secara langsung (live) di akaun Instagram miliknya selepas membunuh mangsa.

Dalam video tersebut, Abhijeet kelihatan berkata 'Bewafai nahi karne ka' (jangan curang) sebelum menunjukkan kekasihnya itu sudah berlumuran darah di atas katil dalam sebuah bilik resort terbabit.

Suspek juga dilihat menunjukkan wajah mangsa yang terbaring di atas katil dengan mengangkat cadar dan memberitahu kekasihnya itu supaya tidak mengkhianatinya.

Menurut pihak berkuasa tempatan, mangsa, Shilpa Jharia, 22, dipercayai mati pada 8 November lalu sebelum video tersebut dimuat naik suspek pada Jumaat.

Dalam video berasingan, Abhijeet turut mengaku membunuh Shilpa kerana percaya mangsa mempunyai hubungan sulit dengan lelaki lain.

Sementara itu, Superintendan Polis, Siddharth Bahuguna berkata, kes tersebut masih lagi dalam siasatan dan polis giat memburu suspek yang menghilangkan diri selepas memuat naik video kejam berkenaan.

"Polis sedang dalam proses mengumpul butiran mengenai suspek dan input yang diterima setakat ini sedang diperiksa dengan teliti.

"Petunjuk yang dikumpul daripada video yang disiarkan oleh tertuduh di platform media sosial sedang dianalisis," kata pegawai kanan itu. — Agensi

Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram dan Telegram