Ismail Sabri ucap tahniah kepada Anwar, doakan politik stabil


  • Primer
  • Khamis, 24 Nov 2022

Ismail Sabri menghargai sokongan Keluarga Malaysia dalam membantu pentadbiran beliau sebelum ini. — Bernama

DATUK Seri Ismail Sabri Yaakob merakamkan ucapan tahniah kepada Datuk Seri Anwar Ibrahim di atas pelantikan sebagai Perdana Menteri ke-10.

Menurut bekas Perdana Menteri itu, beliau merafakkan setinggi penghargaan kepada Yang di-Pertuan Agong, Al-Sultan Abdullah Ri’ayatuddin Al- Mustafa Billah Shah yang memperkenankan pelantikan Anwar.

“Saya mendoakan kerajaan baharu ini dapat meneruskan kestabilan politik serta mengekalkan kemampanan ekonomi negara,” katanya dalam kenyataan pada Khamis.

Pada masa sama, Ismail Sabri merakamkan ucapan terima kasih kepada seluruh Keluarga Malaysia dan keluarga penjawat awam terutama petugas barisan hadapan yang bersama-sama beliau selama ini.

“Saya amat menghargai sokongan Keluarga Malaysia dalam membantu pentadbiran saya, dalam mendepani cabaran dan memastikan Malaysia terus berada di landasan pemulihan kesihatan, politik dan ekonomi,” katanya.

Anwar sah diumumkan sebagai Perdana Menteri ke-10 menerusi satu kenyataan Istana Negara.

Yang di-Pertuan Agong bertitah, keputusan itu dibuat setelah mempengerusikan Perbincangan Khas Raja-Raja Melayu di Istana Negara pada Khamis.

Pengerusi Pakatan Harapan itu mengangkat sumpah jawatan Perdana Menteri ke-10 di depan Yang di-Pertuan Agong dengan disaksikan Ketua Setiausaha Negara, Tan Sri Mohd Zuki Ali dan Ketua Hakim Negara, Tun Tengku Maimun Tuan Mat. — Majoriti

Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram dan Telegram