AMANAH sebagai pemimpin nombor satu negara akan digalas dengan penuh tawaduk dan bertanggungjawab berpandukan kehendak dan nurani rakyat.
Demikian ucapan ringkas sulung Anwar di Facebook selepas beliau selesai mengangkat sumpah jawatan Perdana Menteri ke-10 di hadapan Yang di-Pertuan Agong, Al-Sultan Abdullah Ri'ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah di Istana Negara pada Khamis.
"Amanah akan digalas dengan penuh tawaduk dan bertanggungjawab.
"Tugas berat ini akan saya pikul berpandukan kehendak dan nurani rakyat bersama pasukan," tulisnya dengan menyertakan gambar-gambar ketika menghadiri Istiadat Pengurniaan Surat Cara Pelantikan dan Mengangkat Sumpah Jawatan dan Setia serta Sumpah Simpan Rahsia sebagai Perdana Menteri.
Pelantikan Anwar sebagai Perdana Menteri ke-10 menoktahkan teka-teki selepas negara berdepan situasi Parlimen tergantung, yang pertama dihadapi negara sejak pilihan raya umum diadakan pada tahun 1955.
Pilihan Raya Umum ke-15 menyaksikan gabungan parti antaranya Pakatan Harapan memperoleh 82 kerusi Parlimen, Perikatan Nasional (73), manakala Barisan Nasional (30).
Selain itu, Gabungan Parti Sarawak memperoleh 23 kerusi Parlimen, Gabungan Rakyat Sabah (enam), Warisan (tiga), Bebas (dua) dan Parti Bangsa Malaysia serta Parti Kesejahteraan Demokratik Masyarakat masing-masing satu. — Majoriti
Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram dan Telegram